Kemaskini Windows 10 terbaru untuk Insider ini mempunyai tetapan yang akan menghalang segala pemasangan aplikasi desktop baru cara biasa dan akan hanya membenarkan pemasangan aplikasi melalui Windows Store sahaja.

Perkara ini tentunya mendatangkan kebimbangan terhadap kumpulan pengguna-pengguna yang merasakan Microsoft akan mengawal komputer-komputer Windows 10 serta aplikasinya suatu ketika nanti. Microsoft secara senyap-senyap telah memasukkan ciri terbaru ini melalui Windows Insider build 15042 yang akan menghalang pengguna dari memasang aplikasi desktop biasa (aplikasi Win32). Pengguna seterusnya akan disegerakan untuk memuat turun aplikasi Universal Windows Platform (UWP) dari Windows Store.

Untuk penjelasan lanjut, ciri-ciri ini masih lagi belum dimasukkan pada kemaskini terbaru biasa Windows 10. Ia hanya terhad pengguna yang mengikuti program Windows Insider sahaja.

Mengikut laporan dari MSPowerUser, ciri terbaru ini secara lalainya (default) diletakkan pada off. Ia dikhususkan untuk pengguna-pengguna yang ingin meningkatkan tahap keselamatan penggunaan komputer masing-masing.

Situasi ini mungkin berguna pada komputer kegunaan keluarga. Misalnya untuk menghalang anak-anak dari memasang perisian-perisian tidak sepatutnya pada komputer berkenaan. Unit-unit IT organisasi juga mungkin boleh memanfaatkan fungsi ini untuk menyelaraskan penggunaan setiap komputer mengikut kehendak organisasi.

Lain halnya untuk pengguna dari kategori ‘Power User’. Pengguna dari kelompok ini tentunya tidak menggemari ciri ini memandangkan ia akan menghalang segala aktiviti yang menjadikan ekosistem Windows berbaloi untuk digunakan. Antara aplikasi-aplikasi yang mungkin menerima kesan dari pelaksanaan ciri tersebut adalah seperti Mozilla Firefox, Google Chrome, Steam, kebanyakan permainan-permainan komputer, Steam dan juga kebanyakan perisian-perisian penyunting video dan imej yang utama.

Tetapan terbaru pada build 15042 ini boleh diakses melalui “Apps & features” pada Settings. Pada sebelah atas, di dalam “Installing apps”, terdapat tiga menu pilihan – “Allow apps from anywhere,” “Prefer apps from the Store, but allow apps from anywhere,” dan “Allow apps from the Store only”.

Pilihan menu yang pertama dan yang terakhir mudah untuk kita fahami apa yang dimaksudkannya. Cuma pada pilihan kedua pada menu berkenaan sahaja yang sedikit mengelirukan bahasanya. Mengikut bekas Penganalisis Kanan Teknologi Windows IT Pro, Paul Thurrot, pilihan ini membenarkan pengguna untuk memasang aplikasi-aplikasi Win32. Namun akan mengeluarkan notis amaran “The app you’re installing isn’t from the Windows Store. Limiting installations to apps from the Store helps to keep your PC safe and reliable”.

Jika ciri ini diperkemas dan akan dimuatkan bersama versi lengkap kemaskini Windows 10 Creators Update, ia mungkin akan ditampilkan oleh Microsoft sebagai salah satu penambahbaikan ciri keselataman Windows. Sebelum ini, Apple terlebih dahulu melakukan perkara yang hampir serupa pada komputer-komputer Mac sejak tahun 2012 lagi melalui Gatekeeper.

Untuk Microsoft, ia mungkin sebahagian dari langkah-langkah ke arah penyatuan Universal Windows Platform (UWP) pada Windows 10. Segala spekulasi berkenaan pengukuhan cengkaman Microsoft terhadap komputer peribadi Windows 10 masih lagi diperingkat awal.

Tapi kalau benar ia terjadi nanti, janganlah anda semua gundah gulana. Linux kan ada.

Tinggalkan komentar