Isi Kandungan
Anda boleh memuatkan dan mengoperasikan Windows 10 dari pemacu USB. Fungsi ini dapat memberikan anda kemudahan untuk menggunakan pada komputer yang menggunakan sistem operasi Windows yang lama.
Ia penting apabila anda yang sudah terbiasa menggunakan Windows 10 dan perlu melakukan kerja-kerja baik pulih pada komputer yang menggunakan sistem operasi Windows versi lama. Oleh yang demikian, anda boleh mewujudkan sebuah pemacu USB yang mampu meoperasikan Windows 10.
Apa yang anda perlu adalah sebuah pemacu flash USB atau external hard disk yang mempunyai lebihan ruang sekurang-kurangnya 16GB. Tapi kalau dapat 32GB, lagi cun. Perisian yang boleh anda gunakan ialah WinToUSB untuk membolehkan pemacu USB berkenaan mengoperasikan Windows 10.
Microsoft turut menawarkan perisian yang hampir sama konsepnya, dikenali sebagai Windows To Go untuk mewujudkan pemacu USB dengan bootable Windows. Cuma perisian hanya boleh dilakukan pada Windows 10 versi Enterprise serta pemacu Windows To Go yang ditauliahkan dari Microsoft.
Berbeza dengan WinToUSB. Ia boleh digunakan untuk mewujudkan pemacu USB bootable Windows 10 pada mana-mana jenis PC Windows dan juga pada apa jua jenis pemacu USB.
Cuma kelemahan menjalankan Windows 10 dari pemacu USB adalah ianya lebih perlahan jika dibandingkan dengan Windows 10 yang dijalankan secara konvensional pada hard disk dalaman. Tapi, sekurang-kurangnya anda dapat menggunakan Windows 10 dan mengakses ke aplikasi-aplikasinya.
Mengoperasikan Windows 10 dari Pemacu USB
Terlebih dahulu anda perlu mewujudkan fail ISO Windows 10 pada PC yang sudah tersedia sistem operasi Windows 10. Fail ISO berkenaan diperlukan untuk diklonkan pada pemacu USB. Untuk melakukannya, muat turun Microsoft Media Creation Tool dari laman Muat Turun Windows 10.
Pada paparan skrin yang mula-mula sekali, “Applicable notices and license terms,” klik pada butang “Access”. Seterusnya pada paparan “What do you want to do?” klik pada pilihan “Create installation media for another PC”. Klik “Next”, kemudian pada paparan “Select language, architecture, and edition”, pastikan kesemua tetapan adalah betul dan seterusnya, klik “Next”.
Pada paparan “Choose which media to use”, klik pada pilihan fail ISO. Ketik “Next”.
Pilih lokasi untuk anda tempatkan fail Windows.iso berkenaan pada hard disk dan kemudia klik “Save”. PC anda akan melakukan proses menyiapkan fail ISO berkenaan sehingga selesai dan apabila ianya sudah disiapkan, tekan “Finish”.
Seterusnya, muat turun dan pasangkan perisian WinToUSB yang boleh dimuat turun dari laman web rasminya. Anda boleh menggunakan versi percumanya atau boleh mendapatkan versi Profesional pada harga $29.95 (lebih kurang RM133.37) untuk mengakses kepada lebih banyak fungsi serta menggunakannya secara komersil.
Mulakan WinToUSB melalui kekunci pintas dari menu Start. Pada paparan pengenalan, klik pada butang sebelah kanan di ruangan Image File dan pilih fail Windows.iso yang telah anda wujudkan. Pilih versi Windows 10 mana yang anda ingin pasang pada USB berkenaan. Klik Next.
Pada paparan berikutnya, klik pada anak panah turun ke bawah bersebelahan dengan “Please select the destination disk” dan pilih pemacu USB anda. Satu notis akan tertera meminta anda untuk memilih skim partition. Klik pada pilihan untuk “MBR for BIOS” dan klik butang “Yes”.
Pada paparan seterusnya, klik pada pilihan untuk Legacy bagi memilih mod pemasangan. Klik Next. Windows 10 akan mula diwujudkan pada pemacu USB anda.
Apabila proses pemasangan mencecah 100 peratus, ia menandakan prosesnya sudah selesai. Tutupkan program WinToUSB dan alihkan pemacu USB.
Jika anda ingin memulakan Windows 10 pada komputer lain, masukkan pemacu USB anda ke PC berkenaan, hidupkannya dengan masuk ke menu boot. Cara untuk anda pergi ke menu boot bergantung dengan jenis komputer berkenaan. Ada yang perlu menekan kekunci F8, ada pula yang melalui kekunci Shift/F8 dan ada juga sesetengahnya F12. Sebaik sahaja anda sudah memasuki pilihan menu boot, pilih boot melalui pemacu USB dan daftar masuk ke Windows 10.
Bagi yang pertama kali menggunakan pemacu Windows 10 pada komputer yang berlainan, pastikan tetapan rangkaian disiapkan terlebih dahulu. Anda juga diperlukan untuk mengaktifkan Windows 10 setiap kali anda menggunakannya pada PC-PC yang berlainan. Oleh itu, langkah sebaiknya adalah anda log masuk melalui akaun Microsoft anda bagi membolehkan ia bersambungan dengan lesen digital milik anda. Seterusnya, melalui log masuk akaun persendirian anda ini, anda boleh mendapatkan akses ke fail-fail dan dokumen yang anda simpan di atas talian.
Seronok baca blog ni… byak ilmu pasal ICT… dari tak tau dah tau sikit2.. terima kasih
Terima kasih kembali 🙂
Saya sekadar berkongsi apa yang saya faham berkenaan bidang yang saya suka ni je 😀