Meta dilaporkan akan memperkenalkan ciri nama pengguna (username) yang telah lama dinantikan untuk aplikasi permesejan WhatsApp pada tahun 2026. Kemas kini ini bakal membolehkan pengguna akaun personal dan perniagaan (business) berinteraksi tanpa perlu mendedahkan nombor telefon, sekaligus meningkatkan tahap privasi dan memudahkan komunikasi.
Ciri baharu ini akan membolehkan pengguna membuat pengenalan unik untuk akaun mereka, sama seperti yang terdapat pada aplikasi media sosial lain. Matlamat utamanya adalah untuk memberikan lapisan privasi tambahan, di mana pengguna boleh memilih untuk memaparkan nama pengguna mereka dan bukannya nombor telefon peribadi dalam perbualan individu atau kumpulan. Fungsi ini juga akan memudahkan pengguna untuk memulakan panggilan suara dan video dengan mencari nama pengguna, terutamanya dengan kenalan yang belum disimpan.
Pihak WhatsApp telah mula memaklumkan perniagaan mengenai perubahan ini melalui e-mel rasmi. Dalam komunikasi tersebut, WhatsApp menjelaskan manfaat ciri ini untuk entiti perniagaan. Menurut WhatsApp, username menawarkan pengguna cara mudah untuk melindungi privasi mereka dengan memaparkan nama pengguna dan bukannya nombor telefon mereka apabila berbual dengan orang lain.
Bagi akaun perniagaan, penggunaan nama pengguna akan membantu membina jenama dengan lebih mudah dan membolehkan pelanggan berhubung terus dengan mereka tanpa memerlukan nombor telefon. Untuk tujuan teknikal, WhatsApp akan memperkenalkan Business-Scoped User ID (BSUID), iaitu pengecam unik yang membolehkan perniagaan menghantar mesej kepada pengguna walaupun tanpa mengetahui nombor telefon mereka. Pengguna akaun perniagaan digesa untuk mengemas kini sistem dan aliran kerja mereka sebelum Jun 2026 bagi menyokong pengenalan ciri ini.
Apa yang ada pada WhatsApp Username?
Berikut adalah beberapa spesifikasi untuk penciptaan nama pengguna WhatsApp yang telah diketahui setakat ini:
- Panjang antara 3 hingga 30 aksara.
- Mesti mengandungi sekurang-kurangnya satu huruf.
- Boleh menggunakan kombinasi huruf kecil (a-z), nombor (0-9), tanda noktah (.), dan garis bawah (_).
- Tidak boleh dimulakan atau diakhiri dengan tanda noktah atau mengandungi dua tanda noktah berturut-turut.
- Tidak dibenarkan menyerupai nama domain seperti “www.” atau berakhir dengan “.com” untuk mengelakkan penyamaran.
Walaupun ciri ini masih dalam fasa pembangunan dan ujian beta, pengenalannya pada tahun 2026 dilihat sebagai satu langkah besar ke arah menjadikan WhatsApp platform yang lebih fleksibel dan mementingkan privasi. Pengguna akaun personal akan mendapat manfaat daripada kawalan privasi yang lebih baik, manakala perniagaan boleh mengukuhkan kehadiran jenama mereka di platform tersebut.













