WhatsApp kini sedang membangunkan ciri kekunci nama pengguna (username key), menurut laporan oleh WABetaInfo. Ciri ini membolehkan pengguna mewujudkan sebuah kod yang perlu dimasukkan oleh sesiapa yang ingin menghubungi pengguna terbabit untuk pertama kali. Sebelum ini ia dikenali sebagai “PIN nama pengguna (username PIN).”
Kekunci nama pengguna berperanan sebagai ciri privasi bagi membolehkan pengguna mempunyai kawalan terhadap siapa yang boleh menghubunginya. Nama pengguna membolehkan pengguna menghubungi individu lain tanpa memerlukan nombor telefonnya. Bagaimanapun, jika seseorang mengetahui mana-mana nama pengguna, individu terbabit boleh menghubungi terus pengguna terbabit.
Atas sebab itu, fungsi kekunci ini bertujuan mencegah pengguna dari dihubungi oleh orang yang tidak dikehendaki kerana perlu memasukkan kekunci tersebut jika ingin menghubungi. Secara asasnya, ia ibarat kod rahsia yang pengguna boleh berkongsikan dengan keluarga, rakan taulan dan kenalan.
Untuk mengaktifkannya, pengguna perlu membuat tetapan kod tersebut sebelum boleh menggunakannya. Ini bermakna pengguna bebas untuk menetapkan seberapa banyak mesej yang boleh diterima.
Ciri kekunci nama pengguna ini berguna untuk pengguna yang ingin hak peribadi lebih terjaga. Namun, untuk yang ingin lebih mudah dihubungi, pengguna berkenaan boleh memilih untuk tidak membuat tetapan kod kekunci tersebut.
WhatsApp juga dikatakan akan memaparkan sebuah layar rentang (banner) pada bahagian atas tab Borak (Chats) untuk pengguna yang mempunyai nama pengguna.
Buat masa ini kekunci nama pengguna ini masih lagi dibangunkan. Tidak dapat dipastikan sama ada ciri ini akan diperkenalkan kepada pengguna umum kelak. Terdapat kemungkinan yang versi muktamad ciri ini kelak tidak sama dengan versi yang dibangunkan sekarang ini.