WhatsApp sedang mengusahakan fungsi baharu yang membolehkan pengguna mengawal status “Last Seen” dari dilihat oleh kenalan-kenalan tertentu.
Status “Last Seen” sesuatu kenalan diletakkan pada bahagian atas sesebuah ruangan sembang dengan kenalan berkenaan. Ia menunjukkan bila kali terakhir kenalan berkenaan membuka dan aktif di dalam WhatsApp.
Buat masa ini, anda boleh mematikan status “Last Seen” anda supaya kenalan lain tidak mengetahui bilakah kali terakhir anda berada di dalam talian.
Bagaimanapun, pilihan berkenaan hanya terhad kepada “Everyone,” “My Contacts,” dan “Nobody,” sahaja. Tiada pilihan untuk mengubah tetapan berkenaan mengikut kenalan-kenalan tertentu.
Perubahan tersebut buat masa ini telah pun diperkenalkan pada versi WhatsApp beta, menurut laporan dari WABetaInfo. Fungsi berkenaan boleh diakses menerusi tetapan Privasi yang menyediakan pilihan “My Contacts Except…”. Ia seterusnya membenarkan anda memilih kenalan tertentu untuk anda sorokkan status “Last Seen” berkenaan.
Tetapi, jika anda menyorokkan status “Last Seen” berkenaan, anda juga tidak boleh melihat status pengguna terbabit.
Buat masa ini tidak dapat dipastikan bilakah fungsi ini akan diperkenalkan kepada pengguna umum WhatsApp.













