WhatsApp pada ketika ini sedang menguji fungsi memautkan ke peranti seperti PC tanpa memerlukan telefon pintar pengguna sentiasa dalam talian sejak beberapa bulan yang lalu.
Fungsi yang membolehkan pengguna menerima dan menghantar mesej WhatsApp Web melalui peranti kedua berkenaan kini telah pun diterbitkan secara rasmi kepada umum melalui kemaskini yang terkini untuk Android dan iOS.
Sebelum ini anda memerlukan kedua-dua peranti yang dipautkan tersebut sentiasa berada dalam talian bagi membolehkan sembang anda dibawa bersama ke peranti kedua anda.
Untuk mengaktifkan fungsi ini pada telefon pintar, anda boleh pergi ke menu tetapan (tiga titik bertindih di penjuru atas kanan). Pilih ‘Peranti Terpaut’ (Linked Device) dan pada halaman seterusnya, klik pada butang ‘Pautkan Peranti’. Fungsi ini masih lagi dilabelkan sebagai beta, tetapi sepanjang tempoh menggunakannya saya dapati ia boleh digunakan dengan lancar.

Sebaik dipautkan, anda boleh menggunakan WhatsApp pada desktop PC anda sama seperti biasa. Cuma bezanya pada kali ini, telefon pintar anda tidak diperlukan untuk sentiasa dalam talian. Malah, segala mesej dan panggilan juga menerima penyulitan hujung-ke-hujung.
Selain itu, WhatsApp pada desktop ini juga masih boleh menerima dan menghantar mesej sehingga 14 hari selepas telefon pintar pengguna menjadi offline. Ini amat membantu pengguna yang baharu sahaja kehilangan telefon pintar atau pengguna yang kehabisan bateri tetapi ingin terus kekal berhubungan dengan kenalan.
Bagaimanapun, bagi pengguna iOS pula mereka tidak boleh memadam mesej-mesej yang sudah dihantar pada WhatsApps untuk desktop. Selain kekangan tersebut, fungsi memautkan peranti ini masih lagi belum ditawarkan pada tablet atau telefon pintar lain.













