WhatsApp kini telah menambah kefungsian baharu pada ciri mesej menghilangnya dengan membolehkan pengguna menetapkan mesej di dalam sesebuah chat dipadamkan secara automatik dalam tempoh tertentu.
Pengguna kini diberikan pilihan untuk menetapkan mesej menghilang tersebut secara automatik pada semua jenis chat dengan individu yang baharu.
Perkhidmatan permesejan milikan Meta ini juga memberikan pengguna lebih pilihan untuk menetapkan masa ia dipaparkan sebelum dipadam. Ketika mula diperkenalkan pertama kali pada November tahun lalu, pengguna hanya mempunyai pilihan mesej berkenaan menghilang selepas tempoh tujuh hari.
Untuk penambahbaikan baharu ini, pengguna diberikan pilihan untuk memadamkannya dari tempoh 24 jam hinggalah ke 90 hari. Perubahan baharu ini juga turut dilaporkan perkembangannya oleh WABetaInfo.
WhatsApp turut menyatakan pengaktifan fungsi mesej menghilang secara lalai (default) tidak akan mengganggu chat sedia ada. Apabila anda memulakan chat dengan individu, satu notis akan tertera yang menyatakan mesej menghilang telah diaktifkan secara lalai. Selain itu, anda juga diberikan pilihan untuk mematikan tetapan tersebut pada mana-mana chat secara individu.
Sungguhpun pelaksanaan fungsi baharu ini tidak memberikan kesan terhadap chat secara berkumpulan, WhatsApp turut menambah pilihan baharu untuk anda mengaktifkan fungsi mesej menghilang apabila mewujudkan group WhatsApp baharu.
Fungsi ini telah mula ditawarkan pada kesemua platform WhatsApp dan panduan mengenainya boleh didapati menerusi laman soalan lazim WhatsApp.













