WhatsApp, sebuah anak syarikat Facebook sebelum ini pernah menguji fungsi perkhidmatan pembayaran melalui aplikasinya di India pada tahun lepas. Kini, fungsi berkenaan telah dilancarkan buat julung kalinya di Brazil.

Keupayaan melakukan pemindahan wang menerusi aplikasi ini dikuasakan olehy Facebook Pay. Ini amat berbeza dengan WhatsApp Pay yang digunakan pada peringkat pengujian tahun lalu.

Sungguhpun begitu, konsep penggunaannya masih lagi sama. Pengguna boleh memindahkan wang ke individu atau perniagaan lain menerusi aplikasi WhatsApp tanpa perlu membuka aplikasi lain.

Untuk menggunakannya, pengguna perlu memautkan kad debit atau kredit ke akaun WhatsApp pengguna. Transaksi yang dilakukan akan diperakukan menerusi PIN enam digit atau melalui imbasan cap jari.

Perkhidmatan pembayaran ini percuma untuk pengguna biasa yang ingin menghantar duit ke pengguna lain atau ke mana-mana perniagaan. Untuk pengguna perniagaan pula, bayaran pemprosesan akan dikenakan seperti bayaran pemprosesan yang biasa dikenakan oleh kad-kad kredit.

WhatsApp memaklumkan fungsi perkhidmatan ini akan diperkenalkan ke negara-negara lain tidak berapa lama lagi. Pengasas Facebook, Encik Mark Zuckerberg bagaimanapun tidak memperincikan dengan lebih lanjut kenyataan berkenaan.

Tinggalkan komentar