Meta telah mengumumkan pengguna di Malaysia mula menerima ciri WhatsApp Communities bermula dari hari ini dan seterusnya menjadi antara negara terawal menerimanya menjelang pelancarannya secara global.
WhatsApp Communities pertama kali diumumkan secara rasminya pada April lalu bersama-sama sejumlah ciri baharu yang melibatkan kumpulan borak di dalam platform permesejan berkenaan. Terdahulu, versi awalnya telah pun diketemukan oleh warganet sejak November tahun lalu.
Sebagaimana namanya diberi, ciri ini membolehkan pengguna mewujudkan sebuah komuniti besar yang memayungi sebilangan kumpulan-kumpulan borak berbeza di bawahnya.
Secara asasnya, ia boleh menjadi salah satu kaedah berorganisasi terutamanya bagi anda yang terlibat di dalam pelbagai kumpulan untuk pelbagai tujuan. Untuk memudahkan ia diuruskan, Communities memberikan sejumlah alatan dan keutamaan kepada pentadbir-pentadbirnya.
Pentadbir-pentadbir (admin) komuniti boleh menerima atau membatalkan mana-mana kumpulan borak, memulakan sub-kumpulan untuk perbincangan secara ad-hoc, dan menghantar pengumuman besar-besaran yang lebih meluas melalui pengumuman kumpulan.
Selain itu, hanya pentadbir-pentadbir sahaja boleh menambah atau membuang ahli kumpulan, serta boleh memberikan pautan jemputan supaya dapat mengelakkan individu yang tidak sepatutnya turut serta.
Pentadbir-pentadbir juga boleh memadam mesej-mesej yang bermasalah dari dilihat oleh semua orang, cuma Meta tidak menjelaskan sama ada fungsi tersebut mempunyai had masa tertentu.
Bagi meningkatkan ciri privasinya, WhatsApp turut membawakan enkripsi hujung-ke-hujung ke dalam Communities, selain turut memperkenalkan fungsi yang membolehkan pengguna meninggalkan sesebuah kumpulan secara senyap-senyap.
Menurut Meta, Communities dan ciri-ciri berkaitan kumpulan yang baharu diperkenalkan akan diperkenalkan kepada pengguna-pengguna di Malaysia secara berperingkat dalam tempoh dari sekarang hingga beberapa minggu lagi. Anda tidak perlu bimbang jika masih belum menerima ciri ini di dalam WhatsApp anda kerana lambat laun ia akan tiba jua.













