Hujung tahun lalu, WABetaInfo melaporkan WhatsApp sedang mengusahakan ciri baharu yang dikenali sebagai Communities. Ia membolehkan para pentadbir (admin) kumpulan-kumpulan (groups) WhatsApp menggabungkan kumpulan ke dalam satu kelompok kumpulan dengan mudah.
Fungsi berkenaan secara rasminya telah diperkenalkan pada hari ini. Melalui WhatsApp Communities ini, platform permesejan dari Meta ini turut memberikan contoh penggunaannya seperti seorang pengetua sekolah menguruskan pelbagai jenis kelas di bawahnya.
Turut ditambah sebagai sebahagian ciri Communities ini adalah penambahbaikan cara pengurusan kumpulan borak di dalam WhatsApp. Ini termasuklah fungsi memberikan reaksi kepada mesej dengan emoji. Turut ditambah, kelebihan kepada pentadbir kumpulan untuk memadam mesej mana-mana individu di dalam kumpulan borak tersebut.
Juga diperkenalkan adalah peningkatan had saiz perkongsian fail kepada 2GB. Serta memperkenalkan sokongan panggilan bersuara secara berkumpulan sehingga 32 orang.
Menurut WhatsApp, ciri ini akan hadir kepada pengguna-penggunanya menerusi kemaskini terbaru dalam tempoh beberapa minggu sahaja lagi.