Tidak lama selepas memperkenalkan fungsi Reactions, Communities, undian kumpulan dan banyak lagi, WhatsApp kini sedang mengusahakan pelan langganan untuk aplikasi versi Business. Melaluinya, platform permesejan ini akan membawakan ciri eksklusif untuk pengguna yang bergantung dengan WhatsApp untuk tujuan kerja.
Sebagaimana yang dilaporkan oleh WABetaInfo, WhatsApp kini sedang menjalankan kerja-kerja rekaan semula antaramuka bahagian “Linked Devices” untuk akaun pengguna WhatsApp Business.
Menurutnya, pelbagai peranti boleh dihubungkan pada sesuatu nombor untuk membolehkan pelbagai pengguna di dalam perniagaan terbabit memberi maklumbalas kepada pelanggan dalam satu sesi borak.
Add multiple devices to your account so different people in your business can all talk to a customer in the same chat.
Jika pengguna biasa hanya boleh menghubungkan satu nombor ke sehingga empat peranti menggunakan ciri berbilang peranti, pengguna WhatsApp Business pula boleh menghubungkan ke sehingga 10 peranti. Buat masa ini, tidak dinyatakan sama ada WhatsApp akan menambah ciri menyambung ke peranti atau menambah lebih banyak fungsi ke dalam pelan langganannya ini kelak.
Pelan langganan ini dijangka akan hadir menerusi kemaskini yang akan datang pada WhatsApp Business beta untuk Android dan iOS tidak berapa lama lagi.













