WhatsApp sebelum ini telah pun memasukkan butang Shopping di dalam aplikasi WhatsApp Business. Namun, pada ketika itu ianya tidak disertakan bersama butang ‘Add to Cart’, justeru memerlukan pelanggan yang berminat untuk menghantar mesej secara terus kepada peniaga (PM tepi).
Baru-baru ini syarikat perkhidmatan aplikasi permesejan popular tersebut telah mengumumkan penyediaan fungsi Cart ke dalam WhatsApp Business. Fungsinya adalah hampir sama sahaja seperti yang disediakan pada mana-mana perkhidmatan membeli-belah dalam talian yang lain.
Bagaiamanpun, tidak semua pengguna dapat menggunakan fungsi ini kerana hanya sebahagian kecil perniagaan kecil dan sederhana di Malaysia yang terpilih di dalam kumpulan penguji global. Dijangkakan penglibatan menyeluruh kepada semua kumpulan pengguna bakal hadir dalam masa yang terdekat ini.
Antara perniagaan-perniagaan yang terpilih di dalam kumpulan pengujian global bagi Malaysia adalah Jadi Battek, Muslimah Clothing dan Mu Artisan Soy Sauce. Pengguna boleh menghubungi secara WhatsApp melalui butang yang disediakan pada laman-laman web rasmi perniagaan tersebut.













