Baru-baru ini Vivo telah melancarkan Vivo Z1 Pro yang disasarkan kepada golongan Generasi Z. Hadir dengan paparan ‘bertebuk’, tetapan tri-kamera dan bateri berkapasiti 5,000 mAh, telefon pintar ini dari segi luarannya hampir sama dengan Vivo Z5x, tetapi dibezakan dari segi jenis cip dan kamera swafotonya.
Pada bahagian hadapannya, kita disediakan dengan paparan LCD IPS 6.53-inci beresolusi +FHD dan merupakan telefon pintar Vivo kedua yang menyediakan paparan ‘bertebuk’ yang menempatkan kamera swafoto 32MP f/2.0 pada sebelah penjuru kirinya.
Di belakangnya pula, telefon pintar ini menyediakan sebuah kamera utama berkonfigurasi tri-kamera iaitu 16MP f/1.78, lensa bersudut ultra lebar 8MP f/2.2 dan lensa berpenderia kedalaman 2MP f/2.4.
Di bahagian dalamnya pula, cip Snapdragon 712 disertakan bersama-sama pilihan RAM berkapasiti 4GB atau 6GB dengan pilihan storan 64GB atau 128GB. Vivo turut menyertakan mod Game Turbo danĀ Cooling bagi meningkatkan kecekapan pengoperasiannya.
Bagi membolehkan pengguna menggunakan telefon pintar ini untuk tempoh yang lebih lama, sebuah bateri berkapsiti 5,000mAh turut disediakan. Bersama-sama dengannya, fungsi pengecasan pantas 18W turut disediakan melalui port mikroUSB. Selain itu, Z1 Pro juga boleh berperanan sebagai ‘bank kuasa’ bagi membekalkan kuasa ke peranti-peranti lain.
Hadir dengan pilihan warna Sonic Black, Sonic Blue dan Mirror Black, Vivo Z1 Pro menggunakan sistem operasi Funtouch OS 9 yang berasaskan Android Pie. Telefon pintar ini mula memasuki pasaran India bermula 11 Julai ini dengan harga $217 (RM897) untuk variasi 4GB/64GB dan $261 (RM1,079) untuk variasi 6GB/128GB.












