Tidak lama selepas melancarkan Y56 5G pada bulan lepas, Vivo semalam telah mengumumkan sebuah lagi telefon 5G baharunya di Malaysia, Vivo V23e 5G. Dalam pada masa yang sama, varian 4G untuk model yang sama juga turut diperkenalkan bagi pasaran tempatan.
Sungguhpun mempunyai nama yang sama, terdapat beberapa perbezaan yang ketara antara kedua-dua varian model ini. Misalnya, Vivo V23e 5G dilengkapkan dengan MediaTek Dimensity 810, manakala varian 4G pula dilengkapkan dengan MediaTek G96.
Perbezaan antara kedua-duanya turut melibatkan resolusi sensor utama kameranya. Bagi varian 5G ia hadir dengan sensor yang lebih rendah iaitu 50MP berbanding sensor 64MP yang terdapat pada varian 4G.
Dari segi rekabentuk, kedua-dua varian ini tidak jauh beza antara satu sama lain. Kedua-duanya menampilkan paparan AMOLED Full HD+ 6.44-inci dengan RAM 8GB dan storan 128GB.
Begitu juga halnya dengan gandingan kamera-kamera pada bahagian belakang masing-masing. Terdapat gabungan sensor ultra-lebar 8MP dan sensor makro 2MP yang melengkapkan modul kamera tersebut.
Kapasiti bateri yang disediakan untuk model telefon Vivo baharu ini sebesar 4,050mAh yang menyokong pengecasan sehingga 44W. Bercakap mengenai pengecas, Vivo turut menyertakan pengecas FlashCharge 44W di dalam kotak pembelian Vivo V23e 5G.
Vivo V23e 5G akan dijual pada harga RM1,599. Manakala V23e varian 4G pula boleh didapati dengan harga RM1,399. Kedua-duanya kini sedia dibuka untuk pra-tempahan melalui vivo Malaysia’s E-Store, Lazada Flagship Store, dan Shopee Mall store serta wakil-wakil pengedar yang sah di seluruh negara.
Pengguna yang melakukan pra-tempahan bakal menerima pelan perlindungan keretakan skrin selama 1-tahun dan lanjutan waranti 1-tahun. Bergantung pada varian mana yang anda pilih, pra-tempahan juga akan menerima barangan percuma sampingan lain seperti:
- pendispens sabun automatik
- beg galas
- pembesar suara Bluetooth dengan jam penggera
- gelas ‘tumbler’
- langganan Viu premium selama 1-bulan












