Selain dari memperkenalkan rekaan terbaru antaramuka Google Play Store yang kelihatan serba putih, baru-baru ini gedung aplikasi untuk peranti Android ini turut memperkenalkan ciri terbaru iaitu, fungsi memainkan video secara automatik.

Menurut Google, fungsi ini diperkenalkan bagi membolehkan “lebih ramai lagi pengguna menemukan kandungan yang dikehendaki dari pembangun.”

Bagaimanapun, langkah ini mungkin kurang dipersetujui oleh sesetengah pembangun apabila Google turut menyarankan para pembangun supaya mematikan fungsi pengewangan (monetization) pada video-video untuk aplikasi-aplikasi berkenaan.

Para pembangun aplikasi diberikan masa sehingga 31 Oktober ini untuk mematikan fungsi pengewangan di dalam video untuk aplikasi masing-masing.

YouTube juga kini memainkan video-video iklan secara automatik apabila pengguna menatal ke bawah di halaman utama aplikasinya. Ciri terbaru yang diperkenalkan ini bagaimanapun tidak memberikan pilihan untuk pengguna mematikan fungsi memainkan video iklan automatik berkenaan.

Sumber berita diperoleh dari XDA Developer

Tinggalkan komentar