Astro baru-baru telah mengumumkan rancangannya untuk melancarkan varian baharu Ultra Box yang tidak memerlukan piring satelit. Dikenali sebagai Plug & Play Ultra Box, varian baharu ini akan menggunakan sambungan internet bagi menyediakan kandungannya kepada pelanggan Astro.
Rancangan untuk melancarkan kotak baharu ini telah didedahkan ketika pembentangan laporan kewangan Astro baru-baru ini. Ianya dijelaskan menerusi salah satu slaid pembentangan berkenaan.
Bagaimanapun, Astro masih lagi belum mendedahkan secara rasmi tarikh pelancaran Ultra Box Plug & Play tersebut. Namun, penganlisis dari CGS-CIMB Securities, Kamarul Anwar melaporkan kotak baharu ini akan dilancarkan pada 6 Julai 2021.
Dilancarkan pada November 2019, Ultra Box yang sedia ada kini memerlukan sambungan internet sekurang-kurangnya berkelajuan 10Mbps. Bagaimanapun, kotak tersebut masih lagi memerlukan sambungan ke satelit untuk kebanyakan kandungannya.
Keperluan internetnya lebih ditumpukan pada akses katalogĀ on-demand Astro, selain fungsi-fungsi lain seperti maklumat berkontekstual untuk antaramuka dan rakaman secara awanan.
Selain itu, terdapat satu lagi fungsi baharu yang diperkenalkan untuk Ultra Box semasa yang dikenali sebagai Continous Viewing yang membolehkan pengguna menggunakan internet untuk menonton ketika cuaca hujan.













