Kuala Lumpur, Malaysia, 17 Oktober 2022 – UOB Malaysia komited memindahkan semua pelanggan untuk menggunakan UOB Mighty Secure sepenuhnya menjelang Jun 2023. Langkah ini selaras dengan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) untuk bank menggunakan kaedah pengesahan yang lebih selamat. Dengan perpindahan ini, pelanggan akan menggunakan token digital mereka untuk mengesahkan transaksi tertentu di laman web perbankan internet peribadi (PIB) UOB dan aplikasi UOB Mighty, seperti pindahan dana, pembayaran serta perubahan pada maklumat peribadi dan tetapan akaun.

Token digital UOB Mighty Secure, yang boleh diakses melalui aplikasi UOB Mighty, menggabungkan proses pengesahan dua faktor, justeru menyediakan perlindungan yang lebih selamat berbanding ‘SMS One-Time-Passwords’ atau SMS-OTP, yang dihantar ke telefon bimbit. Ia menggantikan penggunaan khidmat SMS-OTP di mana pelanggan tidak lagi perlu mendapatkan kata laluan satu kali melalui mesej teks setiap kali mereka ingin melakukan transaksi.

Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, berkata, “UOB Malaysia menyokong sepenuhnya lima langkah yang diumumkan BNM bagi memastikan keselamatan dan perlindungan yang lebih baik untuk pelanggan daripada penipuan. Keselamatan siber amat penting bagi kami. Sejajar dengan usaha untuk terus melabur dalam keupayaan digital dan platform dalam talian kami, UOB Mighty Secure menyediakan cara yang mudah, senang dan selamat bagi pelanggan mengesahkan transaksi pada platform perbankan digital kami. Kami akan terus mempertingkat ciri keselamatan bagi membolehkan pelanggan melakukan transaksi dengan selamat secara dalam talian dan melindungi mereka daripada penipuan kewangan.”

Sebagai langkah untuk melindungi pelanggan pada masa ini, semua transaksi perbankan berjumlah RM10,000 dan ke atas yang dilakukan melalui laman web UOB dan aplikasi UOB Mighty mesti disahkan dengan UOB Mighty Secure. Pelanggan yang mendaftar untuk UOB Mighty Secure melalui aplikasi UOB Mighty mereka akan menggunakan kata laluan yang telah ditetapkan oleh mereka sendiri terlebih dahulu bagi mengesahkan transaksi tertentu yang dilakukan melalui UOB Mighty dan PIB. Kaedah ini lebih senang dan lebih mudah berbanding SMS-OTP, iaitu kata laluan unik yang dijana secara automatik dan sah hanya untuk tempoh masa yang singkat.

Sejak dilancarkan pada 2018, Bank telah melihat penggunaan yang kukuh bagi penggunaan token digital Mighty Secure di kalangan pelanggannya. Penggunaan UOB Mighty Secure yang meningkat juga sejajar dengan penemuan Tinjauan Sentimen Pengguna ASEAN (ACSS) UOB 2022, di mana lebih enam daripada 10 rakyat Malaysia yang ditinjau berkata mereka inginkan bank melaksanakan pengesahan berbilang faktor untuk log masuk dan transaksi bagi menambahkan kepercayaan mereka untuk menggunakan perbankan digital atau dalam talian.

Tinjauan ini juga mendapati lebih 60 peratus responden Malaysia menjangka bahawa aktiviti perbankan dalam talian mereka akan meningkat dalam tempoh enam bulan akan datang. Memandangkan potensi trend ini, pelaksanaan proses pengesahan berbilang faktor seperti token digital UOB Mighty Secure adalah kritikal dalam menyediakan perlindungan tambahan kepada pengguna daripada penipuan dalam talian.

UOB Malaysia juga akan terus meningkatkan kesedaran mengenai penipuan melalui inisiatif keterlibatan pelanggan di cawangan, dan juga secara elektronik melalui platform media sosial rasmi, mesej teks dan mel terus elektronik. Pelanggan yang mengesyaki bahawa mereka telah ditipu atau mendedahkan maklumat peribadi atau bank mereka secara tidak sengaja perlu menghubungi Talian Penipuan Kewangan 24 jam UOB di 03-2612 8100 untuk mendapat bantuan.

Tinggalkan komentar