Kuala Lumpur, Malaysia, 7 November 2022 – UOB hari ini mengumumkan komitmen sepenuhnya untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050. Ini menekankan matlamatnya untuk menyokong peralihan saksama dalam memajukan pembangunan sosioekonomi mampan seiring dengan langkah penyahkarbonan di Asia Tenggara.

Komitmen UOB meliputi enam sektor, yang membentuk kira-kira 60 peratus daripada portfolio peminjaman korporatnya. Enam sektor ini ialah kuasa, automotif, minyak dan gas, yang merupakan sebahagian daripada rantaian nilai tenaga, serta sektor hartanah, pembinaan dan keluli, iaitu sebahagian daripada rantaian nilai persekitaran terbina.

Menggunakan model sains iklim yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, sasaran sektoral UOB adalah berdasarkan hala tuju serantau yang sejajar dengan matlamat sifar bersih global. Pendekatan sifar bersih ini menunjukkan kepercayaan kukuh UOB tentang perlunya peralihan yang saksama di Asia Tenggara untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi di samping meningkatkan akses kepada tenaga merentasi pelbagai ekonomi di rantau ini.

Encik Wee Ee Cheong, Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, UOB, berkata, “Di Asia Tenggara, cita-cita sifar bersih kami mesti seiring dengan peralihan yang teratur dan saksama sambil mempertimbangkan cabaran sosioekonomi. Walaupun kita boleh mengambil langkah untuk mengurangkan jejak karbon, kita mesti memastikan hidup dan kelangsungan hidup rakyat akan terus bertambah baik.

“Ia adalah penting untuk mengimbangi pertumbuhan dengan tanggungjawab dalam perjalanan sifar bersih kami. Cita-cita kami untuk mencapai sasaran ini adalah tinggi, tetapi realistik, dan ia juga memenuhi matlamat global sifar bersih untuk ASEAN.”

Komitmen UOB termasuk sasaran interim pada 2030 bagi menunjukkan kemajuan jangka terdekat yang diperlukan ke arah sifar bersih.

Sasaran dan komitmen sifar bersih UOB untuk enam sektor adalah:

Sektor Matlamat menjelang 2030 Matlamat menjelang 2050
Kuasa Mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 61 peratus Mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 98 per cent
Automotif Mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 58 peratus Sifar bersih
Minyak dan gas Tiada pembiayaan projek baharu untuk projek huluan minyak dan gas yang diluluskan untuk pembangunan selepas 2022
Hartanah Mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 36 peratus Mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 97 peratus
Pembinaan Mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 31 peratus Mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 85 peratus
Keluli Mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 20 peratus Mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 92 peratus

Di samping itu, UOB telah memberi komitmen untuk menghentikan pembiayaan bagi sektor arang batu terma menjelang 2039. Ini adalah sebagai tambahan kepada sekatan sedia ada ke atas pembiayaan projek baharu untuk kawasan hijau atau pembesaran loji janakuasa arang batu dan lombong arang batu terma.

UOB sedang menyepadukan rancangan sifar bersihnya ke dalam strategi perniagaan dan akan meningkatkan usaha untuk bekerja rapat dengan pelanggan dan pemegang berkepentingan lain ke arah penyahkarbonan. Pelaporan tahunan akan dijalankan untuk menjejaki kemajuan terhadap sasaran sifar bersihnya. Dari masa ke masa, Bank akan mengembangkan skop sasaran untuk memasukkan sektor tambahan apabila data dan senario iklim disediakan.

Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, berkata, “Sasaran sifar bersih kami adalah sejajar dengan komitmen Malaysia untuk mencapai cita-cita sifar bersih negara. Kami bekerja rapat dengan pelanggan untuk menyediakan penyelesaian sewajarnya yang memberi impak, dan akan terus menggandakan usaha ini. Kami memahami bahawa penyahkarbonan bukanlah penyelesaian ‘satu saiz untuk semua’ dan kami perlu bekerjasama dengan berbagai sektor untuk memahami cabaran dan keperluan mereka agar dapat membantu dalam perjalanan peralihan mereka.”

Menggariskan komitmennya terhadap usaha penyahkarbonan serantau dan global, UOB telah menyertai Perikatan Perbankan Sifar Bersih (NZBA), yang terdiri daripada 121 bank dari 41 negara dengan aset perbankan global AS$70 trilion.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.UOBSustainability.com

Tinggalkan komentar