Samsung Galaxy Z Fold 7 amat ringan dan nipis bersama-sama skrin luarannya yang lebih besar membuatkan kita mungkin tersalah anggap yang ia adalah telefon pintar mercu konvensional.
Namun di dalamnya disediakan paparan lebih besar 8-inci, bersama-sama sistem kamera baharu dengan sensor 200MP, menjadikan ia model Galaxy Z Fold paling didambakan setakat ini. Cuma sayang harganya yang amat tinggi mungkin boleh membantutkan hajat untuk memilikinya.
Harga Samsung Galaxy Z Fold 7 di Malaysia
Telefon pintar boleh lipat baharu dari Samsung ini hadir dengan pilihan warna Jetblack, Silver Shadow, dan Blue Shadow serta warna eksklusif dalam talian Mint pada harga seperti berikut:
- Samsung Galaxy Z Fold 7 (12GB+256GB) – RM7,799
- Samsung Galaxy Z Fold 7 (12GB+512GB) – RM8,399
- Samsung Galaxy Z Fold 7 (16GB+1TB) – RM9,899
Untuk pilihan storan 1TB, hanya warna Blue Shadow dan Jetblack sahaja yang ditawarkan. Berbanding Galaxy Z Fold 6 ketika dilancarkan sebelum ini, Galaxy Z Fold 7 lebih tinggi harganya sekitar RM500 hingga RM800 berganting pada pilihan konfigurasi memori dan storan.
Spesifikasi Samsung Galaxy Z Fold 7
| Ukuran |
|
| Berat | 215g |
| Paparan | Skrin luaran: 6.5-inci FHD+ Dynamic AMOLED 2X, nisbah 21:9, kadar penyegaran semula adaptif 120Hz (1~120Hz) Skrin utama: 8-inci QXGA+ Dynamic AMOLED boleh lipat, kadar penyegaran semula adaptif 120Hz (1~120Hz) |
| Resolusi | Skrin luaran: 2520 x 1080 piksel, Skrin utama: 2184 x 1968 piksel |
| Pemprosesan | Qualcomm Snapdragon 8 Elite for Mobile Platform for Galaxy |
| RAM | 12GB dan 16GB (untuk 1TB sahaja) |
| Storan | 256GB, 512GB dan 1TB |
| OS | One UI 8, berasaskan Android 16 |
| Kamera belakang | utama 200MP f/1.7, ultra-lebar 12MP f/2.2, telefoto 10MP f/2.4 Zum 3X |
| Kamera hadapan | 10 MP f/2.2 (skrin dalaman + skrin luaran) |
| Bateri | 4,400mAh |
| Pengecasan | Berwayar 25W |
Reka bentuk
Galaxy Z Fold 7 kini hanya setebal 8.9mm, menjadikan ia Galaxy Z Fold paling nipis setakat ini. Ia sedikit tebal berbanding HONOR Magic V5 yang baharu sahaja dilancarkan yang hanya 8.8mm. Apabila dibuka Z Fold 7 ini hanya berketebalan 4.2mm, menjadikan ia lebih nipis berbanding tablet siri Galaxy Tab S.
Selain menjadikan ia lebih nipis, Samsung juga mengurangkan berat badannya yang kini hanya seberat 215g sahaja, menjadikan ia 10% lebih ringan berbanding Fold 6. Malah, ia juga lebih ringan berbanding Galaxy S25 Ultra yang seberat 218 gram, dan HONOR Magic V5 yang seberat 217 gram.
Samsung juga menjadikan skrin-skrin telefon pintar boleh lipat keluaran terkininya ini lebih besar. Skrin luarannya kini berukuran 6.5-inci Full HD+ Dynamic AMOLED 2X beresolusi 2520×1080 piksel, kadar penyegaran semula 120Hz dan lebih besar nisbah aspeknya pada 21:9 untuk lebih praktikal untuk digunakan. Pun begitu, ia masih lagi “kurang konvensional” seperti paparan telefon pintar biasa lain.
Di dalamnya, Fold 7 menampilkan paparan 8.0-inci (120Hz QXGA+ Dynamic AMOLED 2X display) beresolusi 2184×1968, yang menurut Samsung 11% lebih besar berbanding sebelum ini.
Tiada lagi sokongan S Pen
Paparannya kali ini bagaimanapun tidak menawarkan sokongan S Pen dan ia mungkin mengecewakan sesetengah peminat S Pen.
Berbeza dengan siri S Ultra yang didatangkan dengan S Pen terbina dalamnya, S Pen sebelum ini ditawarkan sebagai aksesori tambahan untuk siri Galaxy Z Fold yang dijual secara berasingan. Ia juga memerlukan casing khas untuk menyimpan pena stylus berkenaan.
Perubahan dari segi ketebalannya juga menjadikan keutuhannya amat penting. Menurut Samsung, Galaxy Z Fold 7 memperkenalkan Armor Flex Hinge yang ditambah baik. Ia menampilkan gaya lipatan berbentuk titisan air dan struktur berbilang landasan direka bagi mengagihkan tekanan yang lebih sekata pada seluruh permukaan skrin.
Telefon pintar ini juga menggunakan kekisi Titanium Gred 4, lapisan Ultra-Thin Glass 50% lebih tebal, dan bahan pelekat baharu bagi meningkatkan ketahanannya. Paparan luarannya juga dilindungi oleh Corning Gorilla Ceramic 2 dengan panel belakangnya pula oleh Corning Gorilla Glass Victus 2. Sama seperti model tahun lepas, Z Fold 7 masih lagi didatangkan dengan penarafan kerintangan debu dan air IP48.
Prestasi
Menguasakan telefon pintar boleh lipat ini, Qualcomm Snapdragon 8 Elite for Galaxy digunakan bagi menawarkan prestasi NPU, CPU dan GPU. Melalui kecekapan pemprosesan 3nm, ia kini berkeupayaan menyokong main semula video sehingga 24 jam dalam sekali cas.
Cuma kapasiti baterinya yang masih lagi kekal 4,400mAh sejak dari ‘zaman’ Galaxy Z Fold 3 mengurangkan potensinya untuk melangkah lebih jauh lagi dari segi tempoh penggunaan. Kelajuan pengecasannya juga masih lagi sama 25W untuk berwayar dan 15W untuk secara nirwayar.
Menggunakan One UI berasaskan Android 16, Galaxy Z Fold 7 menerima manfaat dari platform Galaxy AI. Ia didatangkan dengan ciri-ciri sokongan berasaskan kecerdasan buatan seperti Circle to Search, Photo Assist, Enhanced Generative Edit, dan integrasi Gemini yang lebih mendalam.
Kamera
Buat pertama kalinya, Z Fold 7 memiliki teknologi kamera 200MP Samsung yang sebelum ini sering ditawarkan pada siri S Ultra. Melaluinya, telefon pintar ini mampu merakamkan gambar jarak jauh menggunakan zum optikal 2X dari sensor utamanya itu.
Bersama-sama dengan kamera utama tersebut, telefon pintar boleh lipat ini juga menyediakan sebuah kamera telefoto 10MP dengan zum optikal 3x. Kehadiran kamera-kamera dengan keupayaan zum jarak jauh ini menjadikan fotografi menggunakannya lebih versatil.
Menambahkan lagi versatiliti fotografi Z Fold 7, turut disediakan sebuah kamera ultra-lebar 12MP yang kini 56% lebih terang berbanding Fold 6.

Melengkapkan kamera-kamera pada telefon pintar boleh lipat ini, terdapat dua buah kamera swafoto yang disediakan pada kedua-dua belah skrinnya. Satu di sebelah skrin luaran, dan satu lagi pada skrin dalaman. Kedua-duanya merupakan kamera 10MP dengan kelebihan sudut lebar 100-darjah.
Kesimpulan
Samsung Galaxy Z Fold 7 dikirakan sebagai telefon pintar boleh lipat yang paling kemas di pasaran setakat ini dari segi reka bentuknya bersama-sama ciri yang lebih nipis, lebih ringan dan paparan lebih besar.
Pun begitu, ia masih lagi mempunyai kekurangan terutama dari segi ketiadaan sokongan S Pen dan juga kapasiti baterinya yang dikira sudah ketinggalan berbanding pesaing lain.
Kelebihan Z Fold 7 banyaknya terletak pada perisian termasuk sokongan jangka panjang untuk kemaskini keselamatan dan perisian sehingga tujuh tahun. Ia merupakan antara paling panjang yang ditawarkan di pasaran.













