Galaxy Z Flip 7 kini boleh dikatakan sebagai telefon pintar gaya katup (flip) yang terbaik di pasaran pada ketika ini. Ia memberikan apa yang diperlukan oleh peminat telefon pintar segmen ini walaupun masih lagi belum mencapai ke tahap kesempurnaan.
Samsung telah melancarkan Galaxy Z Flip 7 bersama-sama Galaxy Z Fold 7 secara rasminya ke pasaran Malaysia pada 9 Julai yang lalu. Flip baharu ini membawakan penambahbaikan paling ketara setakat ini dengan mengetengahkan pembaharuan pada skrin cover dan juga perkakasannya.
Harga Galaxy Z Flip 7 di Malaysia
Samsung Galaxy Z Flip 7 ditawarkan di dalam pilihan warna Blue Shadow, Jet Black dan Coral Red dengan warna eksklusif dalam talian Mint menerusi kedai rasmi Samsung.
- Samsung Galaxy Z Flip 7 (RAM 12GB + storan 256GB) – RM4,999
- Samsung Galaxy Z Flip 7 (RAM 12GB + storan 512GB) – RM5,599
Bersama-sama dengan Galaxy Z Fold 7, telefon pintar boleh lipat gaya katup ini boleh dipra-tempah di pasaran Malaysia bermula dari 9 Julai 2025 sehingga 31 Julai 2025. Ia mula menemui pengguna di pasaran tempatan pada 1 Ogos 2025.
Kelebihan dan Kekurangan
Galaxy Z Flip 7 menampilkan skrin cover yang lebih besar seperti yang diidamkan oleh sesetengah peminat siri ini. Melalui nisbah skrin 21:9, paparan luarannya kali ini lebih mudah dikendalikan oleh pengguna. Seperti lazimnya, telefon pintar boleh lipat baharu keluaran Samsung ini menyediakan prestasi mercu yang pantas dengan hayat penggunaan bateri yang lebih baik bersama-sama prestasi kamera yang telah dipertingkatkan.
Kelebihan
- Skrin cover yang lebih besar dan ditambah baik
- Nisbah skrin utama 21:9
- Kualiti kamera yang ditambah baik
- Prestasi mercu yang pantas dengan hayat bateri yang lebih panjang
Kekurangan
- Perisian skrin cover boleh ditambahbaik lagi
- Tiada kamera telefoto
Spesifikasi Samsung Galaxy Z Flip 7
Ukuran (bila dibuka): | 166.7 x 75.2 x 6.5 mm |
Ukuran (bila ditutup): | 85.5 x 72.2 x 13.27 mm |
Berat: | 188g |
Skrin utama: | Dynamic AMOLED 2X 6.9-inci, kadar penyegaran semula adaptif 1~120Hz, resolusi 1080 x 2640 piksel |
Skrin hadapan: | Super AMOLED 4.1-inci, 120Hz, 1048 x 948 piksel |
Sistem operasi: | Android 16 melalui One UI 8 |
Cipset: | Exynos 2500 |
Kamera belakang: | 50MP (f/1.8, 1.0μm) lebar, 12MP (f/2.2, 1.22μm) ultra-lebar |
Kamera hadapan: | 10MP (f/2.2, 1.22μm) |
RAM: | 12GB |
Storan: | 256GB / 512GB |
Bateri: | 4,000mAh |
Pengecasan: | Berwayar 25W, nirwayar 15W, nirwayar berbalik 4.5W |
Rangkaian dan ketersambungan: | 5G, LTE, WI-Fi 6E, Bluetooth 5.3, Nano SIM, eSIM |
Kerintangan debu dan air: | IP48 |
Warna: | Blue Shadow, Jet Black, Coral Red, Mint |
Rekabentuk
Rekabentuknya yang padat dan kemas serta benar-benar memanfaatkan ruangan yang ada menjadikan Galaxy Z Flip 7 antara pilihan terbaik untuk telefon pintar segmen ini. Paparan dalamannya tidak memberikan rasa yang terlalu memanjang atau sempit ketara disebabkan nisbah 21:9 yang digunakannya. Manakala skrin luarannya pula menggunakan ruangan sebaik mungkin.
Apabila dibuka telefon pintar ini hanya senipis 6.5mm, hampir sahaja menyamai tahap kenipisan Galaxy S25 Edge. Tahap nipis ini mampu dilaksanakan Samsung tanpa perlu mengorbankan prestasi bateri dan mutu prestasinya.
Engselnya lebih mudah dibuka dan ditutup berbanding model sebelumnya, serta boleh diletakkan dengan pegun pada mana-mana sudut bukaan. Ia tidak akan tertutup, atau terbuka habis secara tiba-tiba. Oleh itu, ia memberikan lebih kebebasan ketika anda ingin menghasilkan kandungan dalam FlexMode.
Menurut Samsung, engsel ini juga dibuat agar lebih tahan lasak walaupun ia lebih kompak. Gaya lipatan berbentuk titisan air ini juga menjadikan kesan lipatannya lebih tidak ketara berbanding model terdahulu. Hasilnya, telefon pintar ini dapat dikatup dengan lebih sempurna dan boleh dilipat dengan sebelah tangan sahaja.
Butang kuasa dengan sensor pengimbas cap jari di sebelah sisinya juga kini ditambah baik. Untuk membuat tetapan daftar cap jari, anda tidak lagi perlu mengangkat dan meletakkan semula pada sensor berkenaan berulang kali ketika imbasan. Sebaliknya anda hanya perlu melalukan seluruh bahagian cap jari anda untuk diimbas.
Skrin
Flip kali ini memanfaatkan ruangan skrin luarannya bersama-sama perisian yang telah ditambah baik. Panel 4.1-inci baharu ini menggunakan hampir keseluruhan ruangan yang ada dengan meninggkalkan sedikit bezel seluas 1.25mm di sisinya dan merangkumi dua lensa kamera pada penjuru bawahnya.
Ia seolah-olah menjadi cermin ketika swafoto menggunakan kamera utama bersama-sama antaramuka baharu yang direka bagi memudahkan penggunaannya.
Beberapa aplikasi terpilih boleh dilancarkan secara terus dari skrin luaran ini seperti Google Maps, WhatsApp, Messages, Netflix dan YouTube. Untuk mengaktifkan fungsi membuka aplikasi-aplikasi lain dari skrin luaran ini, anda perlu memasang aplikasi Multistar dari Good Lock. Cuma proses ini memakan sedikit masa untuk melakukan tetapan dan bukannya disediakan secara lalai (default).
Untuk menaip di dalam aplikasi pada skrin luaran ini boleh digunakan bersama-sama aplikasi Samsung Keyboard. Setakat ini ia tidak boleh ditukarkan dengan aplikasi papan kekunci lain dan bagi sesetengah pengguna ia mungkin agak leceh. Namun setidaknya ia membantu memberikan respon pantas terus dari muka skrin luaran tersebut.
Selain boleh membuka aplikasi, skrin luaran ini juga seperti pada model sebelum ini boleh memuatkan widget seperti cuaca, kalendar, rakaman suara dan sebagainya. Bezanya dengan widget skrin dalaman, saiz widget berkenaan disesuaikan mengikut skrin luaran tersebut.
Seterusnya pada skrin dalaman pula terdapat perubahan dari segi saiz dan nisbah aspeknya. Skrinnya lebih memanjang dari 6.7-inci sebelum ini kepada 6.9-inci. Jika sebelum ini nisbah aspeknya adalah 22:9, kali ini ia telah berubah kepada 21:9. Pertambahan luas kawasan permukaan ini menjadikan pengalaman menikmati media lebih kondusif.
Kadar penyegaran semula dan kecerahannya masih lagi sama dengan model terdahulu. Ia masih lagi jelas dan terang untuk ditonton di bawah cahaya yang terang seperti di bawah matahari. Kualiti paparannya juga seperti kelaziman skrin AMOLED peranti keluaran Samsung amat tinggi mutunya.
Kamera
Berkenaan kamera pula, siri Flip jarang menerima keupayaan perkakasan pengimejan seperti model-model mercu yang lain seperti S25 Ultra dan Z Fold. Model Z Flip 7 ini juga tidak terkecuali, namun ia lebih baik berbanding model-model sebelumnya.
Model kali ini tidak menawarkan pengimejan untuk warna biru dan hijau yang tidak terlalu tumpat dengan tahap kontras yang wajar. Fotografi di dalam keadaan kurang pencahayaannya juga lebih baik dari model sebelumnya.
Dari segi kejelasan dan kualiti ia tidak dapat menandingi S25 Ultra, dan tentunya tidak akan mencapai tahap kualiti zum kamera telefoto berperiskop. Namun, kualitinya untuk imej yang dizumkan telah pun meningkat naik.
Melalui sensor utama 50MP, and aboleh melakukan zum 2x untuk mendapatkan imej yang baik, jitu dengan kedalaman semulajadi dan tekstur yang baik. Ia amat berguna untuk mendapatkan imej yang dekat dengan objek kecil seperti serangga dan bunga.
Kamera utamanya menyeimbangkan sorotan dan bayangan dengan agak baik sungguhpun pada hari yang terlalu terik seperti kebelakangan ini.
Sampel foto Galaxy Z Flip 7
Prestasi
Pemilihan Exynos 2500 mungkin menimbulkan tanda tanya buat sesetengah pengguna yang cenderung dengan hasrat penggunaan pemprosesan terkini Snapdragon 8 Elite. Bagaimanapun, mengambil kira kekurangan ruangan yang ada untuk komponen-komponennya dan juga keperluan thermal untuk memastikan cip yang besar dan berkuasa beroperasi secara efisien, pemilihan ini dianggap wajar.
Secara amnya, pemprosesan ini lebih berkuasa jika dibandingkan dengan Snapdragon 8 Gen 3 keluaran tahun lepas. Namun, ia tidak mencapai tahap seperti Snapdragon 8 Elite.
Tambahan pula, Flip bukanlah peranti yang disasarkan untuk permainan kompetitif dan tugasan berkeperluan pemprosesan tinggi, ia sepatutnya bukanlah hal yang besar. Terutamanya apabila mengambil kira prestasi thermal Flip, sebarang pertambahan kuasa pastinya tidak dapat dipenuhi kerana hambatan disebabkan pelepasan habanya.
Melalui Exynos 2500 dan juga paparan 120Hz, Galaxy Z Flip 7 mampu menguruskan segala tugasan dengan pantas, sesuai dengan tarafnya selaku telefon pintar mercu. Boleh dikatakan, prestasi perkakasannya ini lebih baik berbanding Z Flip 6.
Perisian
Tidak banyak yang hendak diperkatakan berkenaan perisian telefon pintar mercu keluaran Samsung sepanjang 2025. Telefon pintar boleh lipat tahun ini hadir dengan One UI 8, lebih satu ‘takuk’ dari siri Galaxy S25 yang menggunakan One UI 7.
Ia masih lagi One UI seperti biasa dengan ciri-ciri AI. Namun, apa yang membuatkan Z Flip berbeza dengan perisian yang terdapat pada siri Galaxy S25 terletak pada beberapa perubahan yang dikhususkan untuk paparan boleh lipat.
Mana-mana aplikasi yang dibuka separuh pada sudut sekitar 90 darjah, satu ikon akan muncul pada separuh bahagian bawahnya. Apabila diketik, separuh kandungan akan ditolak ke atas dengan sepatuh lagi di bahagian bawah akan mengaktifkan pad sesentuh.
Ini membolehkan anda menggunakan bahagian bawah skrin tersebut sebagai pad penjejak untuk menggerakkan kursor pada skrin atau menatal menggunakan bar sisi, seakan-akan pada sebuah laptop. Terdapat juga togol segera untuk melakukan perkara seperti menurunkan bidai notifikasi dan melancarkan mod skrin terbahagi.
Jika anda sedang memainkan video di dalam YouTube, anda akan mnerima kawalan khusus video untuk menatal garis masa, memain dan menjeda, atau melangkau ke hadapan dan ke belakang.
Skrin luarannya yang lebih besar turut memberikan manfaat pada perisian berkaitan AI seperti Gemini di dalam Galaxy Z Flip 7. Anda boleh terus mengaktifkan fungsi Gemini dengan memegang butang kuasa sehingga paparan Gemini Live muncul untuk mengajukan pada anda.
Ciri-ciri AI melalui Galaxy AI yang ditambahbaik juga dibawakan ke dalam Galaxy Z Flip 7 seperti AI Eraser, Interpreter dan Call Assist. Seperti biasa, Samsung masih lagi menawarkan pengguna pilihan untuk memproseskan data berkaitan AI ini hanya pada peranti apabila menggunakan ciri-ciri Galaxy AI.
Bateri
Siri Galaxy Z Flip telah mempertingkatkan prestasi hayat baterinya dari setiap keluaran saban tahun. Untuk versi tahun ini, ia hadir dengan kapasiti 4,300mAh yang mampu memenuhi keperluan penggunaan sepanjang hari.
Walaupun saya bukanlah pengguna yang kerap menggunakan telefon pintar, model-model Flip sebelum ini terutamanya untuk Z Flip 3 agak sukar menampung keperluan untuk sepanjang hari. Penambahbaikan yang dilakukan setiap kali model baharu diperkenalkan telah membawakan Z Flip 7 mampu menggalas keperluan sepanjang hari pengguna. Pada kebiasaannya saya mendapati kapasiti bateri yang berbaki adalah sekitar 40% sebelum saya masuk tidur pada waktu malam.
Pengecasannya pula bagaimanapun, sama seperti kebanyakan model telefon pintar Samsung masih lagi terhad sehingga 25W. Pengecasan pantas 25W ini mengambil masa sekitar 15 minit untuk mendapat paras suku kapasiti, dan hampir 1 jam 30 minit untuk memenuhkannya.
Kesimpulan
Galaxy Z Flip 7 membawakan perubahan besar untuk telefon pintar boleh lipat bersaiz kocek Samsung. Beberapa pengurangannya tidak begitu ketara dan mungkin kebanyakan pengguna boleh berpuas hati dengan penawarannya.
Ia mempunyai kelebihan hampir segenap sudut, skrin luaran yang lebih besar, prestasi kamera yang lebih baik, dan juga skrin dalaman lebih lebar dengan nisbah aspek yang lebih baik.