Telefon boleh lipat meneruskan langkah ke pasaran arus perdana menerusi teknologi skrin boleh lipat dari Samsung. Generasi terkini telefon boleh lipat kini lebih lasak, dan lebih rintang air. Malah, ia juga lebih murah jika dibandingkan dengan model terdahulu tanpa menjejaskan ciri rekaannya yang membuatkan mata tidak berkelip apabila melihatnya.
Galaxy Z Flip 3 5G meneruskan kesinambungan Z Flip dan ia boleh didapati pada harga dari RM3,999 untuk pilihan RAM 8GB, storan 128GB. Anda juga boleh mendapatkan pilihan storan yang yang lebih besar 128GB dengan RAM 8GB pada harga RM4,199. Harga ini adalah lebih rendah berbanding Galaxy Z Flip yang berharga RM5,888 ketika dilancarkan pada tahun lalu.
Model ini merupakan telefon boleh lipat generasi ketiga keluaran Samsung bersama-sama Galaxy Z Fold 3, kacukan tablet-telefon yang berharga dari RM6,699.
Jika Galaxy Z Fold 3 adalah tablet yang boleh dimasukkan ke dalam kocek seluar anda, Galaxy Z Flip 3 pula adalah telefon pintar yang boleh dilipat dua seperti telefon boleh lipat jenama Nokia atau Motorola sekitar era 2000-an dahulu.
Z Flip 3 merupakan sebuah evolusi peranti boleh lipat Samsung sebelum ini. Ia lebih nipis, kecil dan padat. Serta memiliki engsel yang lebih diperkemaskan dan rekaannya lebih menyerlahkan ciri kelasakannya.
Berbanding dengan Flip generasi pertama, paparan skrin AMOLED 6.7-inci boleh lipat ini dua kali ganda lebih pantas. Melalui kadar penyegaran semula skrin 120Hz juga menjadikan aktiviti penatalan dan interaksi dengan paparan jelas lebih lancar.
Pelapik kaca ultra-nipis yang dipasangkan padanya juga 80% lebih lasak sungguhpun ia dianggap lebih lembut berbanding kaca telefon pintar lain. Pun begitu, ini semua tidak menjejaskan kelancaran paparan dan interaksi anda sepanjang menggunakannya.
Gelembung kecil paparan pada bahagian pelipat skrin telefon ini masih lagi kelihatan jika skrin menjadi gelap. Namun, ia tidak begitu ketara dan tidak mengganggu ketika penggunaan termasuk ketika menonton filem.

Peningkatan paling ketara dari segi ciri fizikalnya adalah pada kerintangan air telefon ini. Ia merupakan telefon pintar boleh lipat pertama yang menerima penarafan piawaian IPX8 – mampu bertahan selama 30 minit untuk rendaman sehingga 1.5 meter.
Walaubagaimanapun, Samsung Galaxy Z Flip 3 tidak mempunyai kerintangan terhadap debu, terutamanya pada bahagian engsel. Untuk hal ini, anda perlu mengambil berat ketika menjaganya dalam keadaan berdebu.
Spesifikasi Samsung Galaxy Z Flip 3
- Skrin utama: Infinity Flex AMOLED FHD+ 6.7-inci FHD+ 120Hz (425ppi)
- Skrin luaran: AMOLED 1.9-inci (302ppi)
- Cipset: Qualcomm Snapdragon 888
- RAM: 8GB
- Storan: 128 atau 256GB
- Sistem operasi: One UI 3.1 berasaskan Android 11
- Kamera: Belakang, dwi-kamera: bersudut lebar 12MP, bersudut ultra-lebar 12MP; Hadapan: Kamera swafoto 10MP
- Ketersambungan: 5G, nano sim + esim, wifi6, NFC, Bluetooth 5 dan GPS
- Kerintangan air: IPX8 (air berkedalaman 1.5 m untuk tempoh 30 minit)
- Ukuran ketika dilipat: 86.4 x 72.2 x 17.1-15.9mm
- Ukuran ketika lipatan dibuka: 166.0 x 72.2 x 6.9mm
- Berat: 183g
Prestasi Cemerlang, Bateri Sedang-Sedang
Galaxy Z Flip 3 hadir dengan cipset mercu antara yang terkini dari Qualcomm, Snapdragon 888 yang dapat diterjemahkan melalui prestasi cemerlangnya sepanjang penggunaan.
Baik dari kegunaan santai seperti aplikasi media sosial hinggalah ke permainan mudah alih, segalanya dapat dioperasikan dengan amat lancar. Malah, fungsi menyahkunci melalui pengimbas cap jari juga amat pantas jika dibandingkan dengan model terdahulu.
Pun begitu, tempoh penggunaan baterinya boleh dikira sebagai sedang-sedang sahaja. Berdasarkan pengamatan saya, tempoh penggunaannya mampu bertahan sekitar 25 jam sebelum perlu dicaskan semula.
Antaramuka One UI 3.1
Telefon lipat Samsung terkini ini menggunakan antaramuka Samsung OneUI 3.1 yang berasaskan Android 11. Bagi Galaxy Z Flip 3, antaramuka berkenaan mempunyai beberapa ciri khas.
Antaranya “Flex Mode” yang membahagikan skrin paparan kepada dua apabila dalam keadaan separa lipatan (bentuk L).
Ia akan membawakan video ke sebelah atas dan butang kawalan main semula di sebelah bawah. Begitu juga fungsi kamera di dalam Flex Mode, bahagian pemidang tilik di sebelah atas paparan, manakala butang pengatupnya di sebelah bawah.
Menurut Samsung, Galaxy Z Flip 3 akan menerima sekurang-kurangnya empat tahun sokongan kemaskini perisian dari tarikh pelancarannya. Kemaskini ini juga merangkumi kemaskini keselamatan bulanan.
Kamera Samsung Galaxy Z Flip 3
Dwi-kamera 12MP yang ditempatkan pada bahagian belakangnya merupakan sebuah kamera bersudut luas dengan penstabil imej optikal. Manakala sebuah lagi kamera bersudut ultra luas. Ciri kamera ini adalah sama seperti yang disediakan pada model terdahulu.
Sensor-sensor ini mampu mengambil imej yang baik dan video yang jelas dalam hampir kebanyakan jenis pencahayaan. Prestasi dalam keadaan kurang pencahayaan juga lebih baik dari sebelumnya. Walaupun untuk sensor ultra-lebar terdapat kekurangan dari segi perincian, namun ketajamannya ketika di dalam keadaan kurang pencahayaan masih lagi antara yang terbaik.
View this post on Instagram
Tiada kamera telefoto disediakan untuk Samsung Galaxy Z Flip 3. Ia bergantung sepenuhnya pada zum digital yang didapati mampu menjalankan tugas yang baik pada tahap 2x sehingga 10x.
Kamera utama telefon lipat Samsung ini juga boleh digunakan untuk tujuan mengambil swafoto apabila ia didalam keadaan dilipat. Anda bileh menggunakan skrin luarannya sebagai penilik bidang ketika di dalam keadaan dilipat tersebut. Skrin luaran yang sama juga boleh digunakan ketika mod tangkapan gambar biasa untuk membolehkan subjek fotografi anda melihat diri sendiri ketika gambar di ambil.
Kualiti imej dari kamera swafoto Samsung Galaxy Z Flip 3 ini juga mampu mengambil perincian yang jelas dalam pelbagai keadaan pencahayaan.
Secara keseluruhannya, kamera telefon boleh lipat Samsung ini menyediakan kamera telefon pintar antara yang terbaik sungguhpun kekurangan kamera telefoto.
Lain-lain ciri Samsung Galaxy Z Flip 3
- Mempunyai pembesar suara stereo di sebelah atas dan bawah
- Permukaan kaca yang rata dan licin membuatkan ia mudah menggelongsor di permukaan yang menyenget
- Kesan cap jari lebih mudah melekap jika dibandingkan dengan sesetengah telefon pintar Android lain.
Harga Samsung Galaxy Z Flip 3 di Malaysia
- Samsung Galaxy Z Flip 3: RAM 8GB, storan 128GB – RM 3,999
- Samsung Galaxy Z Flip 3: RAM 8GB, storan 256GB – RM 4,199
Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan telefon ini, anda boleh melakukan pra-tempahan menerusi laman Samsung Malaysia.
Kesimpulan
Samsung Galaxy Z Flip 3 menerima manfaat dari penambahbaikan kecil tetapi penuh bermakna hasil dari apa yang telah dipelajari dari model sebelumnya.
Apabila anda membuka lipatannya, anda akan mendapati kualitinya sama seperti telefon pintar premium Android yang lain. Tetapi, apa yang lebih memuaskan hati adalah apabila ia dikatup kemas dan disimpan di dalam kocek untuk dibawa bersama ke mana-mana. Faktor saiz yang kecil ini juga lebih memudahkan untuk disimpan.
Tahap kerintangan air yang lebih baik dari model sebelumnya juga menarik untuk dipertimbangkan.Pun begitu, engselnya tidak mempunyai ciri kerintangan debu, dan anda perlu mengambil perhatian supaya tidak mendedahkannya dalam keadaan tertentu seperti di kawasan berpasir.













