Samsung Galaxy M33 5G merupakan telefon pintar keluaran terkini dari Samsung yang membawakan pelbagai pembaharuan. Antaranya penggunaan cipset Exynos, bateri 5,000mAh, paparan 120Hz dan sokongan rangkaian 5G.

Dari segi rekaan, telefon ini menampilkan rekaan yang menarik pada bahagian belakangnya bersama-sama kemasan dan pilihan warna yang cemerlang. Bahagian hadapannya pula menampilkan skrin LCD berukuran 6.6-inci dengan bingkai yang agak tebal. Sebuah kamera turut ditempatkan pada bahagian takuk di sebelah hadapannya.

Pada sisi dan bawahnya, anda akan menemukan apa yang biasa terdapat pada telefon pintar Samsung. Sisi kanannya menempatkan butang kawalan audio dan butang kuasa yang juga menempatkan pengimbas cap jari. Pada sisi kirinya pula ditempatkan dulang dwi-SIM dan kad mikroSD. Manakala, port USB-C, pembesar suara, mikrofon, dan bicu audio pula ditempatkan pada bahagian bawahnya.

Paparan dan Audio

Skrin LCD 6.6-inci yang digunakan oleh telefon pintar ini beresolusi Full HD+ yang menawarkan paparan yang cerah secukup rasa dengan warna yang agak terang. Dari segi kelancarannya, Samsung Galaxy M33 5G menawarkan kadar penyegaran semula 120Hz membolehkan animasi dan tatalan skrin dipancarkan dengan begitu lancar.

Bagi audionya pula, kualiti yang disediakan adalah sedang-sedang sahaja dan ia sudah dijangkakan bagi telefon pintar pada julat harga ini. Untuk meningkatkan nikmat pendengaran anda ketika memainkan media, sebaiknya anda boleh menggunakan fon telinga sama ada secara nirwayar atau berwayar melalui bicu audio 3.5mm yang disediakan.

Kamera

Samsung Galaxy M33 5G hadir dengan konfigurasi kamera utama 50MP, ultra lebar 5MP, kamera berkedalaman 2MP dan kamera makro 2MP. Kamera utamanya ini mampu mengambil foto dengan baik dalam pelbagai keadaan pencahayaan. Manakala bagi kamera ultra lebar 5MP yang disediakannya pula sekadar mampu menyediakan kualiti yang baik di dalam keadaan pencahayaan baik seperti di siang hari.

Tidak ketiggalan, sebuah kamera 8MP turut disediakan pada sebelah hadapan telefon pintar ini yang boleh juga digunakan sebagai kamera swafoto.

Berikut adalah contoh tangkapan foto menggunakan Samsung Galaxy M33 5G:

Prestasi

Samsung Galaxy M33 5G menggunakan cipset Exynos 1280 dan berdasarkan pengamatan saya, cipset ini mampu memberikan prestasi yang memberangsangkan bagi penggunaan harian. Cuma terdapat sedikit senggukan sekali-sekala apabila menghidupkan skrinnya. Namun, secara amnya prestasi yang ditawarkan adalah bagus.

Untuk permainan mudah alih, telefon ini mampu memainkan dengan baik pada kualiti grafik tetapan rendah dan menengah.

Prestasi permainan pada tetapan grafik tinggi bagi sesetengah judul dijangka mungkin mengambil sedikit masa melalui kemaskini yang akan ditawarkan oleh pembangunnya. Ini kerana GPU Mali-G68 pada cipset Exynos 1280 ini boleh dikirakan sebagai padu dan mampu memainkan permainan mudah alih dengan baik.

Dari segi kapasiti memori dan storannya, Samsung Galaxy M33 5G menyediakan RAM sebanyak 8GB dan storan 128GB. Turut disediakan sokongan RAM Plus untuk menambah kapasiti memori telefon pintar secara maya sehingga 8GB bagi meningkatkan lagi keupayaannya.

Perisian

Samsung Galaxy M33 5G hadir dengan antaramuka One UI 4.1 berasaskan Android 12, sama seperti telefon pintar Samsung yang dikeluarkan selepas siri Galaxy S22 dilancarkan. Cuma, beberapa fungsi unik seperti Bixby dan Bixby Routine tidak disediakan pada telefon pintar ini.

Namun, di dalam telefon pintar ini disediakan fungsi penting lain seperti perakam skrin, kesan khas panggilan video, Game Launcher, Link to Windows, Dual Messenger, Quick Share, Music Share, Secure Folder, dan banyak lagi.

Manakal ciri unik Android 12 ditawarkan pada telefon pintar ini merangkumi fungsi mengubah palet warna ikon dan menu berpadanan dengan wallpaper dan fungsi memalapkan skrin untuk memudahkan pembacaan di dalam keadaan gelap.

Tempoh hayat bateri

Melalui kombinasi bateri berkapasiti 5,000mAh dengan penggunaan cipset 5nm Samsung Exynos 1280, Samsung Galaxy M33 5G mampu bertahan bagi penggunaan sepanjang hari.

Jika anda menetapkan paparan skrin pada 120Hz, ia mampu bertahan sekitar 9 hingga 10 jam. Tempoh ini mampu dilanjutkan lagi jika anda mengurangkan kadar penyegaran semula skrin kepada 60Hz.

Tempoh mengecasnya pula mengambil masa sekitar satu setengah jam untuk memenuhkannya dari sifar hingga ke 100% melalui pengecas 25W. Pengecas bagaimanapun tidak disediakan bersama-sama pembelian Samsung Galaxy M33 5G.

Kesimpulan

Samsung Galaxy M33 5G mengetengahkan tempoh hayat bateri yang mengkagumkan bersama-sama pemprosesan yang agak berkuasa. Cuma, sokongan untuk permainan mudah alih bagi telefon ini memerlukan sedikit masa dari pembangun-pembangun permainan yang berkenaan.

Secara keseluruhannya, Samsung Galaxy M33 5G merupakan telefon pintar 5G yang baik bersesuaian dengan harganya bersama-sama sokongan penyegaran semula paparan 120Hz.

Harga Samsung Galaxy M33 5G di Malaysia

Di Malaysia, Samsung Galaxy M33 5G dijual pada harga RM1,299 (harga asal RM1,499) di Lazada Malaysia.

Bersempena Lazada Super Brand Day yang akan berlangsung pada 24 Mei 2022, Samsung Malaysia menawarkan kod baucar promo eksklusif “SSPR50” (RM50 no min spend) untuk digunakan di kedai rasmi Samsung di Lazada pada 24 Mei ini sahaja.

Rebutlah tawaran hebat secara eksklusif ini di Lazada sementara stok masih ada!

Tinggalkan komentar