Tidak mengira sama ada anda ingin mendapatkan telefon pintar bagi tujuan urusan harian mahupun sekadar santai, telefon pintar bajet Samsung Galaxy A03 mampu memenuhi keperluan tersebut.
Malahan memiliki peranti mudah alih di era pandemik ini sudah menjadi satu keperluan terutamanya untuk tujuan berkomunikasi, berurus niaga mahupun untuk tujuan pembelajaran.
Samsung Galaxy A03 merupakan salah satu telefon pintar bajet di pasaran tempatan yang mungkin anda boleh pertimbangkan. Ikuti ulasan lanjut mengenai telefon pintar Samsung terbaru ini untuk mendalaminya dengan lebih dekat. 
Ada apa dengan Samsung Galaxy A03
Sesuai dengan bajetnya, telefon pintar ini disasarkan sebagai peringkat pemula yang mengutamakan ciri-ciri asasnya. Oleh yang demikian, pengoperasian asas seperti membuat panggilan telefon, melayari laman web dan menjalankan aplikasi-aplikasi mampu dilaksanakannya dengan cemerlang.
Penggunaan lain seperti kamera dan permainan mudah alih pula boleh dijalankan dengan baik mengikut keadaan. Misalnya, untuk penggunaan kamera, telefon ini mampu melaksanakannya dalam keadaan pencahayaan yang baik. Manakala untuk permainan mudah alih pula bergantung pada judul dan juga pada tetapan yang paling minima.
Pada sebelah hadapan telefon ini, disediakan paparan Infinity-V LCD TFT 6.5-inci beresolusi HD+ dengan kadar penyegaran smula 60Hz. Pada bahagian takuk berbentuk V paparannya ditempatkan sebuah kamera swafoto 5MP.
Bahagian bawahnya pula menempatkan sebuah pembesar suara mono bersama-sama bicu 3.5mm yang menyokong Dolby Atmos. Turut disediakan pada sebelahnya bawahnya sebuah port mikro-USB yang boleh digunakan untuk mengecas dan memindahkan data.
Terdapat dulang yang menempatkan tiga slot yang dua daripadanya untuk anda meletakkan kad SIM nano dan satu kad mikroSD pada sebelah sisi kirinya. Manakala sisi kanannya pula ditempatkan butang kawalan audio dan juga butang kuasa, sama seperti hampir kebanyakan telefon pintar Samsung Galaxy lain.
Berdasarkan model ulasan yang kami terima ini, bahagian permukaan belakang Samsung Galaxy A03 ini mempunyai lapisan plat polikarbonat bertekstur. Selain mampu mengurangkan kesan cap jari, permukaannya juga dirasakan selesa untuk dipegang tanpa perlu bimbang terlepas dari genggaman tangan. Pada sebelah atas bahagian belakang telefon ini ditempatkan dua buah kamera yang bersama-samanya juga terdapat cahaya flash LED.
Secara keseluruhannya, kualiti binaan Galaxy A03 ini dirasakan teguh sungguhpun diperbuat daripada plastik. Rekaan bucunya yang sedikit melengkung pada sebelah belakang pula memudahkan anda menggengamnya selain turut mengurangkan risiko tersangkut di dalam poket seluar anda. 
Telefon ini bagaimanapun tidak mempunyai sebarang penarafan kerintangan air dan debu. Hal ini dapat difahami apabila mengambil kira harga yang ditawarkan olehnya.
Pembelian telefon pintar ini didatangkan bersama-sama kabel USB-A, dan pengecas Samsung 7.8W. Kotak pembungkusan yang bersekali dengan pengecas adalah sesuatu yang amat diraikan dalam keadaan di mana terdapat sesetengah model telefon yang tidak menyertakannya.
Spesifikasi dan Prestasi Samsung Galaxy A03
Untuk pasaran Malaysia terdapat dua pilihan memori dan storan iaitu RAM 3GB / storan 32GB dan RAM 4GB / storan 64GB. Dari segi pemprosesan, rekaan dan pilihan warna, kesemuanya adalah masih sama antara kedua-duanya.
Berdasarkan maklumat yang diterima, cipset yang digunakan oleh Samsung Galaxy A03 adalah UNISOC T606. Ia merupakan pemprosesan lapan teras berasaskan senibina big.LITTLE dengan sepasang teras ARM Cortex A75 pada klok 1.61Ghz dan enam teras ARM Cortex A55 pada klok 1.61GHz. Tidak ketinggalan, pemprosesan ini turut digandingkan dengan pemprosesan grafik Mali G57.
Untuk ketersambungan pula, telefon pintar terbaru Samsung ini menawarakan sokongan 4G LTE, WiFi 5 802.11ac dan Bluetooth 5.0.
Sungguhpun storan sehingga 64GB ini mungkin memadai bagi pengguna-pengguna santai, namun bagi pengguna yang ingin memerlukan storan tambahan, slot kad mikro SD juga disediakan yang menyokong sehingga 1TB. Ini amat membantu bagi anda yang ingin menyimpan foto-foto atau video yang dirakamkan melalui Samsung Galaxy A03 anda.
OneUI Core
Telefon ini menggunakan antaramuka OneUI Core, versi OneUI yang diringkaskan berasaskan Android 11. Antaramuka ini sememangnya dikhususkan untuk mengoptimasikan prestasi telefon pintar peringkat pemula. Apa yang penting, ia membantu telefon model ini ‘bersih’ pada latar sistemnya.
Paparannya yang beresolusi HD+ berukuran 6.5-inci ini boleh dikira besar dan seperti biasa, kualiti paparan adalah kekuatan utama telefon pintar keluaran Samsung. Ia menawarkan peincian dan kecerahan yang baik terutamanya dengan warnanya yang menonjol dan melalui paparan yang besar ini amat membantu terutamanya bagi pengguna-pengguna yang lebih senior untuk membaca teks dengan lebih jelas.
Faktor kadar penyegaran semula paparannya sehingga 60Hz dari sudut positifnya membantu penjimatan penggunaan bateri telefon pintar ini. Samsung Galaxy A03 menyediakan bateri berkapasiti 5,000mAh dan berdasarkan pengalaman kami menggunakannya, ia mampu bertahan lebih dari sehari bagi penggunaan secara santai.
Untuk pengecasan, telefon pintar ini boleh dicaskan sepenuhnya hampir dua jam jika menggunakan pengecas 7.8W yang disertakan bersama pembeliannya.
Tidak ketinggalan, sebuah bicu audio 3.5mm yang disediakan pada bahagian bawahnya dapat menampung kekurangan pembesar suara mono telefon pintar ini. Dari segi kualiti audio pembesar suara berkenaan, ia memadai untuk panggilan suara secara loudspeaker, namun untuk kualiti yang lebih baik bagi anda menikmati muzik atau filem, mungkin lebih baik anda menggunakan fon telinga pilihan anda.
Kamera Samsung Galaxy A03
Berdasarkan unit ulasan yang kami terima ini, Galaxy A03 menyediakan kamera belakang yang sederhana. Dwi-kamera yang disediakan mengandungi sebuah kamera 48MP f/1.8 dengan autofokus dan kamera sekunder 2MP. Kamera utamanya berkeupayaan merakam video 1080P pada 30 fps dan zum digital sehingga 10x.
Untuk kamera hadapan pula, disediakan sebuah kamera 5MP dengan fokus pegun yang juga berkeupayaan merakam pada resolusi 1080p pada 30fps. Walaubagaimanapun untuk video melalui kamera hadapan ini ia tidak menyediakan fungsi zum digital.
Antaramuka kamera ini turut menyediakan mod Pro yang telah diringkaskan. Hanya fungsi seperti kawalan white balance, ISO dan dan exposure ditawarkan bagi mod Pro tersebut. Selain itu, mod-mod lain yang turut disediakan merangkumi mod ‘makanan’, panorama dan mod malam.
Prestasi bagi kamera belakangnya didapati lebih baik jika dibandingkan dengan model sebelumnya. Ia kini dilengkapkan dengan sensor 48MP f/1.8 dengan auto-focus.

Pun begitu, kualiti tangkapan foto atau videonya adalah nyata lebih baik jika dilakukan dalam keadaan pencahayaan yang cukup. Kekurangan pencahayaan akan menyebabkan kualiti foto yang anda ambil mungkin tidak memuaskan hati anda. Namun, hal ini sudah boleh dijangkakan mengambil kira harga yang ditawarkannya. Berikut adalah beberapa contoh tangkapan foto yang diambil menggunakan kamera Galaxy A03:
Didatangkan dengan tiga warna iaitu Black, Blue dan Red, peranti yang berpatutan ini boleh menjadi milik anda dengan harga runcit disyorkan sebanyak RM469 untuk RAM 3GB dengan storan dalaman 32GB atau RM549 untuk RAM 4GB dengan storan dalaman 64GB. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai peranti ini, layari Samsung Malaysia.













