Xiaomi telah melancarkan Redmi 15C di Malaysia sebagai telefon pintar bajet terbaharu yang menawarkan kombinasi menarik antara hayat bateri yang panjang, skrin besar dan prestasi yang boleh dipercayai pada harga berpatutan.
Telefon pintar ini merupakan kesinambungan kepada Redmi 14C yang dilancarkan tahun lepas. Ia kini tampil dengan reka bentuk baharu dan bateri yang lebih besar.
Redmi 15C ditawarkan dengan harga bermula dari RM429 untuk model 6GB RAM + 128GB storan, manakala varian 8GB RAM + 256GB storan pula dijual pada harga RM529.
Harga dan Ketersediaan di Malaysia
Redmi 15C kini tersedia di Malaysia melalui kedai fizikal Xiaomi serta platform dalam talian termasuk Shopee dan Lazada. Peranti ini ditawarkan pada harga seperti berikut:
- 6GB RAM + 128GB storan: RM429
- 8GB RAM + 256GB storan: RM529
Telefon ini turut hadir dengan jaminan rasmi satu tahun daripada Xiaomi Malaysia.
Reka Bentuk Premium pada Harga Mampu Milik
Redmi 15C hadir dengan reka bentuk yang menarik perhatian meskipun menggunakan bahan plastik sebagai bahan binaan utama. Unit ulasan dalam warna Moonlight Blue menampilkan kilauan yang indah apabila terkena cahaya, dan turut tersedia dalam pilihan warna Midnight Black, Mint Green, dan Twilight Orange.
Pada berat 211 gram, telefon pintar ini memberikan rasa genggaman yang kukuh dan memberikan rasa nilai premium lebih tinggi berbanding harganya.
Salah satu kelebihan reka bentuk Redmi 15C ialah ketahanannya dari kesan cap jari yang baik. Bahagian sisinya hampir tidak menunjukkan kesan kotoran dan panel belakang juga berkesan menyembunyikan kotoran melainkan dilihat dengan teliti.
Telefon pintar ini juga dilengkapkan dengan ciri-ciri praktikal seperti bicu audio 3.5mm yang pada kami masih relevan pada tahun 2025. Sensor cap jari yang dipasang pada butang kuasanya agak pantas dan boleh dipercayai bersama-sama port pengecasan USB-C yang kini menjadi standard.
Skrin Besar dengan Kadar Penyegaran Lancar
Redmi 15C menampilkan paparan besar bersaiz 6.9 inci yang memberikan pengalaman sederhana untuk menonton video atau melayari media sosial. Meskipun bukan paparan paling jitu atau paling terang di pasaran dengan resolusi 1,600 x 720 piksel.
Ia mampu menghasilkan pengeluaran warna yang baik dan sudut pandangan yang luas. Skrinnya mempunyai kecerahan maksimum 660 nits, cukup sekadar untuk boleh nampak sahaja apabila berada di luar rumah.
Ciri paling menonjol skrin ini ialah kadar penyegaran 120Hz yang meningkatkan sedikit kelancaran paparannya. Paparan reka bentuk Dot Drop mungkin kelihatan sedikit ketinggalan zaman, namun ia bukan penghalang besar terutama pada julat harga ini.
Sebagai nilai tambah, telefon pintar ini hadir dengan penarafan rintangan habuk dan air IP64, perlindungan yang jarang ditemui dalam kategori bajet ini.
Kamera: Berkemampuan untuk Penggunaan Harian
Redmi 15C dilengkapi dengan kamera utama 50MP dan kamera hadapan 8MP. Ia bukan untuk fotografi profesional, tetapi mampu menghasilkan foto yang tajam dan boleh digunakan dalam pencahayaan baik dengan warna yang cukup tepat untuk memuaskan hati kebanyakan pengguna. Prestasi cahaya rendah bertambah baik dengan Mod Malam yang menambah perincian dan ketajaman.
Ciri-ciri lain seperti mod HDR, Film Camera, Mod Potret, dan Time-lapse menambah fleksibiliti. Rakaman video maksimum pada 1080p pada 30fps, yang tidak begitu mengagumkan tetapi mencukupi untuk kandungan santai.
Kamera hadapan menghasilkan swafoto yang baik dengan sedikit mod kecantikan yang dipertingkatkan dengan perisian. Ia juga didatangkan bersama-sama dengan kesan potret yang memuaskan jika di dalam keadaan pencahayaan baik.
Sekadar nota pemerhatian, kamera belakang kadang-kadang menunjukkan sedikit herotan tepi dengan garis lurus yang membengkok berhampiran bingkai. Bagaimanapun, isu ini dianggap kecil dan tidak akan menjejaskan kebanyakan gambar.
Sampel foto kamera Redmi 15C
Prestasi
Dikuasakan oleh pemproses MediaTek Helio G81 Ultra, Redmi 15C menangani tugas harian dengan lancar. Media sosial, pemesejan dan pelayaran web berjalan tanpa masalah. Manakala permainan ringan seperti Mobile Legends dan Roblox boleh dimainkan dengan penurunan bingkai yang kadangkala boleh berlaku.
Unit yang diuji mempunyai 6GB RAM dan 128GB storan dengan sokongan pengembangan RAM dari storan. Ia membolehkan penambahan sehingga 12GB RAM maya yang membantu pelbagai tugas dan mengekalkan prestasi stabil.
Untuk telefon peringkat permulaan, ia menawarkan prestasi yang boleh dipercayai dan tidak direka untuk permainan berat atau beban kerja intensif, tetapi berprestasi lebih baik daripada yang dijangkakan pada harga ini.
Bateri
Hayat bateri adalah aspek di mana Redmi 15C benar-benar menonjol. Bateri 6,000mAh dengan mudah bertahan sehari penuh penggunaan berat dengan cas berbaki. Ia juga boleh bertahan sehingga 22 jam untuk main semula video, 82 jam muzik, atau 20 jam pembacaan.
Pengecasan pantas pada 33W membolehkan telefon mencapai 50% dalam 31 minit, sesuai bagi kegunaan harian. Ia juga menyokong pengecasan berbalik melalui USB-C, membolehkan pengguna mengecas peranti lain dalam keadaan kecemasan.
Kesimpulan
Redmi 15C menawarkan nilai yang banyak untuk harganya dengan reka bentuk yang kelihatan premium, paparan lancar, prestasi yang boleh dipercayai, kamera yang baik, dan hayat bateri yang cemerlang pada harga peringkat permulaan.
Ia bukan untuk pengguna kuasa atau jurugambar mudah alih, namun sesuai untuk pelajar, pengguna telefon pintar kali pertama, atau sesiapa yang memerlukan peranti harian yang boleh dipercayai pada harga bajet. Telefon pintar ini juga ideal sebagai telefon kedua dengan skrin besar dan hayat bateri yang panjang untuk tugas standard yang mudah.

















