Poco F7 Pro merupakan telefon pintar yang dilihat sebagai berkesinambungan dari Poco F6 Pro yang dilancarkan pada tahun lepas dengan beberapa perubahan. Ia telefon pintar khusus permua dengan perkakasan bertaraf mercu.
Antaranya paparan yang bagus, hayat bateri yang mengkagumkan, pemprosesan yang berkeupayaan walaupun kamera ultra-lebar yang digunakannya menjadi sedikit tanda tanya serta perisian yang dipenuhi perisian sarap.
Harga POCO F7 Pro di Malaysia
Telefon pintar baharu keluaran POCO ini telah dilancarkan bersama-sama POCO F7 Ultra yang turut menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Elite. Ia telah mula dijual dijual di pasaran Malaysia sejak 27 Mac lalu melalui Xiaomi Malaysia, atau di Shopee dengan harga:
- Poco F7 Pro (12GB+256GB) – RRP: RM2,299
- Poco F7 Pro (12GB+512GB) – RRP: RM2,499
Untuk warnanya, ia boleh didapati dengan pilihan hitam, biru dan perak sebagaimana unit ulasan yang kami terima kali ini.
Spesifikasi POCO F7 Pro
Ukuran | 160.3 x 75 x 8.1 mm |
Berat | 206g |
Paparan | AMOLED 6.67-inci, 120Hz, POCO Shield Glass |
Resolusi | 1440 x 3200 piksel |
Pemprosesan | Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 |
RAM | 12GB |
Storan | 256GB |
OS | HyperOS 2, berasaskan Android 15 |
Kamera belakang | utama 50MP f/1.6 24mm (lebar), 1/1.55″, OIS
ultra lebar 8MP f/2.2, 1/4.0″, 1.12µm |
Kamera hadapan | 20 MP (f/2.2) |
Bateri | 6,000mAh |
Pengecasan | Berwayar 90W |
Kelebihan dan kekurangan POCO F7 Pro
Kelebihan
- Paparan AMOLED yang sangat molek
- Kamera utama yang baik
- Bateri tahan lama dengan sokongan pengecasan pantas berwayar
Kekurangan
- Harga terlalu premium
- Audio sederhana
- Tiada sokongan pengecasan nirwayar
Rekabentuk
Tidak seperti model Ultra yang tampak garang, POCO F7 Pro menampilkan rekaan yang lebih tenang dan santai. Secara amnya ia kelihatan seakan Ultra, namun permukaan belakangnya lebih rata serta nampak lebih tebal dan berat.
Pun begitu POCO F7 Pro sedikit nipis, 0.3mm kurang dari model Ultra selain ia juga lebih ringan. Ia disebabkan oleh kerangka dan permukaan belakang yang lebih rata. Bonggol kameranya kelihatan hampir sama dengan bahagian bulatan pada sebelah kiri atas di bahagian belakangnya. Serlahan berkilatnya juga sama sebagaimana logo POCO, butang-butang, port dan juga kekisi. Untuk unit ulasan berwarna perak yang kami terima ini ia kelihatan bergaya seolah-olah menggambarkan bentuk logam cecair.
Bekas pembungkusannya boleh dikirakan amat meriah terutamanya dalam keadaan semakin banyak pengeluar yang ‘kedekut’ memberikan aksesori tambahan. Di dalamnya terdapat kepala pengecas 90W, kabel USB-C, pelindung skrin yang telah siap dipasangkan, dan selongsong silikon.
Permukaan hadapan dan belakang telefon pintar ini juga dilindungi oleh kaca Corning Gorilla Glass 7i dan selain keseluruhannya mempunyai penarafan IP68 bagi kerintangan debu dan air.
Seterusnya, skrin POCO F7 Pro merupakan panel AMOLED 6.67-inci dengan resolusi 1,440 x 3,200 piksel, jenis yang sama terdapat pada model Ultra. Ia mempunyai ketumpatan piksel yang tinggi pada 526 PPI dan mampu ditingkatkan kecerahannnya sehingga 3200 nits. Paparannya ini juga boleh dinaikkan kadar penyegaran semulanya sehingga 120Hz serta turut menyokong warna 12-bit dan Dolby Vision.
Apa yang membezakan paparan model ini dengan Ultra adalah pada pengimbas cap jari terbina bawah paparannya. POCO F7 Pro menggunakan varian optikal, manakala model Ultra pula menggunakan ultrasonik. Ia boleh berfungsi dengan baik, cuma mungkin ada sesetengah pengguna yang merasa sedikit perlahan berbanding jenis ultrasonik.
Kamera
POCO F7 Pro didatangkan dengan sistem dwi-kamera di belakangnya dengan kamera utamanya masih lagi sama seperti yang terdapat pada POCO F6 Pro sebelum ini. Lebih tepat lagi, ia merupakan sensor 1/1.55″ Light Fusion 800 50MP, dengan saiz piksel 1.0µm di bawah lensa berapertur f/1.6 dan jarak fokal 24mm. Manakala untuk kamera ultra-lebarnya pula menampilkan sensor 1/4.0″ 8MP dengan apertur f/2.2.
Secara amnya, foto-foto yang diambil POCO F7 Pro boleh dikirakan sebagai baik walaupun di dalam keadaan cuaca yang mendung. Perinciannya bagus, dengan julat dinamik yang agak lebar dan mampu menguruskan dedahan dengan baik. Malah dalam keadaan cuaca mendung pun warnanya masih lagi kelihatan sedikit tumpat.
Tiada kamera telefoto dan ia memerlukan pangkasan 2X dari sensor kamera utamanya untuk memberikan hasil yang boleh digunakan. Untuk kamera ultra-lebar pula ia sekadar memberikan hasil yang memuaskan sahaja. Sensor 8MP yang digunakannya juga boleh dikirakan agak kecil dengan terdapat sedikit kekurangan pada perincian. Tiada fungsi autofokus disediakan dan oleh itu, ia kurang sesuai digunakan untuk foto yang memerlukan kedalaman medan (depth of field) atau objek yang rapat dengan kamera.
Terdapat pilihan rakaman berkualiti sehingga 8K yang memberikan kelebihan apabila menghasilkan kandungan. Rakaman pada resolusi 4K sudah memadai untuk menghasilkan video yang berkualiti dengan perincian yang jelas dan warna yang jitu dan menyerlah.
Prestasi
POCO F7 Pro menggunakan pemprosesan Qualcomm yang dilancarkan pada tahun 2023, Snapdragon 8 Gen 3. Walaupun bukanlah dari generasi yang terkini, kuasa pemprosesan yang ditawarkannya mampu melaksanakan tugasan-tugasan dengan baik, menyaingi model telefon pintar keluaran jenama lain yang seangkatan dengan harganya.
Unit yang kami terima ini mempunyai konfigurasi RAM 12GB dan storan 256GB. Turut ditawarkan di pasaran pilihan konfigurasi RAM 12GB dan storan 512GB.
Perisian
Menggunakan antaramuka HyperOS 2 yang berasaskan Android 15, POCO F7 Pro menggunakan perisian yang sama seperti yang digunakan pada telefon pintar mercu Xiaomi 15. Atas sebab itu, telefon pintar ini turut dilengkapkan dengan sokongan Xiaomi HyperAI sebagaimana telefon pintar mercu berkenaan.
Antaranya AI Interpreter, AI Editor, serta ciri-ciri sokongan AI lain seperti carian, pengecaman pertuturan, bantuan penulisan dan banyak lagi. Anda memerlukan akaun Xiaomi untuk menggunakan fungsi-fungsi tersebut. Selain fungsi-fungsi AI tersebut, anda juga boleh menggunakan fungsi AI daripada Google melalui Google Gemini.
Terdapat sebilangan perisian sarap di dalamnya, namun anda boleh memadamkannya terus. Anda juga boleh mengubahsuai antaramukanya dengan bebas mengikut citarasa seperti menggunakan hiasan latar dinamik, pilihan laci aplikasi atau tanpa laci aplikasi, penukaran tatasusunan dan banyak lagi.
Dari segi sokongan perisian, POCO F7 Pro menyokong sehingga empat tahun kemaskini utama Android dan enam tahun kemaskini keselamatan.
Bateri dan Audio
Tahap penggunaan bateri bagi penggunaan harian secara berterusan mampu mencapai sekitar 8 jam untuk sekali cas. Jika tidak menggunakannya secara aktif, POCO F7 Pro mampu bertahan sehingga lebih dari empat hari, berdasarkan pengamatan saya.
Pada saya ia disumbangkan oleh penggunaan teknologi bateri silikon-karbon yang berkapasiti 6,000mAh. Teknologi ini berpotensi besar untuk dipertingkatkan di masa hadapan lagi dengan penambahbaikan optimasi perisian serta penggunaan pemprosesan generasi baharu yang lebih cekap.
Untuk pengecasan yang menggunakan palam pengecas 90W yang disediakan di dalam kotak pembungkusannya, ia mampu mencapai dari 0% hingga 88% kapasiti dalam tempoh 30 minit dan untuk memenuhkannya pula memakan masa sekitar 36 minit.
Cuma ketiadaan sokongan pengecasan nirwayar mungkin dianggap sebagai satu kekurangan bagi segelintir pengguna. Pun begitu, kelebihannya mengecaskan dengan pantas secara sambungan wayar USB-C adalah sesuatu wajar menerima pujian.
Sistem audio stereo yang ditawarkan oleh POCO F7 Pro juga memberikan hasil yang baik. Ia lantang secukup rasa, namun terdapat sedikit kenyaringan di dalam julat frekuensi tinggi dan ‘agak pecah’ sedikit pada volume paling maksimum.
Kesimpulan
Pada pandangan peribadi saya, POCO F7 Pro merupakan sebuah telefon pintar yang baik dengan beberapa kelebihan di ambil dari model mercu seperti skrin paparannya dan juga kamera utama.
Namun, ia mempunyai sedikit kekurangan seperti penggunaan pemprosesan yang ketinggalan satu generasi dan kamera ultra-lebar yang sedang-sedang aja. Ketiadaan sokongan pengecasan nirwayar juga mungkin membuatkan segelintir pengguna merasa ralat. Justeru, pada harga lebih daripada RM2,000 ini mungkin membuatkan sesetengah pengguna merasa perlu mempertimbangkan dengan model-model lain yang ada di pasaran.
Akan tetapi dengan kapasiti baterinya sebesar 6,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas nirwayar yang mampu dipenuhkan dalam tempoh sekitar setengah jam adalah perlu dipuji.
Tidak ketinggalan, rupa estetikanya yang unik juga menjadikan ia salah satu daripada telefon pintar Android keluaran tahun ini yang cantik.