Utama Android Oppo Ulasan OPPO Reno 14 F 5G; Ringkas tapi bermakna

Ulasan OPPO Reno 14 F 5G; Ringkas tapi bermakna

54
0

OPPO telah melancarkan tiga telefon pintar peringkat menengah baharunya melalui siri Reno14 awal bulan ini yang antaranya OPPO Reno14 Pro dan OPPO Reno 14 F. Antara dua model ini, OPPO Reno 14 F merupakan paling mesra bajet dan kami berkesempatan untuk mengulas unit tersebut.

Harga OPPO Reno 14 F, Reno 14 dan Reno 14 Pro di Malaysia

Siri OPPO Reno 14 ditawarkan dengan warna pilihan mengikut model-modelnya iaitu Reno 14 F 5G (Opal Blue, Luminous Green, Glossy Pink), Reno 14 5G (Opal White, Luminous Green) dan Reno 14 Pro 5G (Opal White, Titanium Grey).

Untuk harganya, berikut adalah harga OPPO Reno 14 5G, Reno 14 Pro 5G, dan Reno 14 F 5G di Malaysia:

  • OPPO Reno 14 F 5G (RAM 8GB + storan 256GB) – RM1,399 (eksklusif dalam talian)
  • OPPO Reno 14 F 5G (RAM 12GB + storan 256GB) – RM1,599
  • OPPO Reno 14 F 5G (RAM 12GB + storan 512GB) – RM1,799
  • OPPO Reno 14 5G (RAM 12GB + storan 256GB) – RM2,199
  • OPPO Reno 14 5G (RAM 12GB + storan 512GB) – RM2,599
  • OPPO Reno 14 Pro 5G (RAM 12GB + storan 512GB) – RM2,999

Spesifikasi OPPO Reno 14 F 5G

Ukuran: 158.1mm x 75mm x 7.7mm
Berat: 180g
Paparan: AMOLED 6.57-inci FHD (1080 x 2372 piksel) sehingga 120Hz
Pemprosesa: Qualcomm Snapdragon 6 Gen 1
RAM: 8GB atau 12GB
Storan: 256GB atau 512GB
Sistem Operasi: Android 15 melalui ColorOS 15
Kamera: Kamera utama 50MP (f/1.8)

Kamera ultra-lebar 8MP (f/2.2)

Kamera makro 2MP (f/2.4)

Kamera hadapan 32MP

Bateri: 6,000mAh
Pengecasan: Berwayar 45W, berbalik berwayar 44W
Warna: Opal Blue, Luminous Green, Glossy Pink

Rekabentuk dan Paparan

Unit ulasan Reno 14 F yang kami terima berwarna Opal Blue dengan corak Iridescent Mermaid Design. Ia kelihatan seperti ekor sirip ikan duyung yang warnanya berkilau dan ‘berubah’ apabila kita menggerak-gerakkannya. Difahamkan, hanya Opal Blue sahaja yang mempunyai corak ini dan ia tidak terdapat pada Glossy Pink atau Luminous Green.

Sama seperti kebanyakan telefon pintar menengah, Reno 14 F mempunyai saiz dan berat sederhana. Bonggol kameranya tidak begitu ketara dan membolehkan ia diletakkan di atas permukaan rata tanpa terlalu berjongkang-jongket. Kesemua sisinya adalah rata dengan menampilkan bucu membulat untuk genggaman yang selesa.

Di bawahnya disediakan pembesar suara, port USB-C dan dwi-slot kad SIM. Sisi kanannya menempatkan butang kuasa dan butang suara. Juga disediakan sebuah lagi pembesar suara di atasnya untuk memberikan kesan suara stereo.

Dari segi ketahanannya terhadap debu dan air, telefon pintar ini mempunyai penarafan IP66, IP68 dan IP69, bagi membolehkan ia bertahan apabila terjatuh ke dalam air. Bersama-sama kotak pembungkusannya juga disediakan bekas cover silikon telus (transparent) bagi melindunginya dari kesan-kesan calar aktiviti harian pengguna.

Bagaimanapun, skrinnya kini lebih kecil berbanding Reno 13 F. Reno 14 F mempunyai skrin berukuran 6.57-inci berbanding 6.67-inci pada Reno 13 F. Malah kecerahan puncaknya juga telah dikurangkan kepada 1400 nits berbanding 2100 nits. Walaupun skrinnya masih lagi boleh dilihat dengan jelas di bawah cahaya matahari, tidak dapat dipastikan sebab mengapa OPPO mengurangkan tahap kecerahan skrinnya ini.

Kualiti paparannya pula sudah semestinya baik dengan menggunakan panel AMOLED yang menampilkan resolusi FHD+ dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Panelnya ini juga menyokong imbasan cap jari terbina bawah skrin yang diletakkan pada bahagian bawah paparan.

Prestasi

Secara amnya, spesifikasi teknikal Reno 14 F tidak jauh beza dengan OPPO Reno 13 F yang dilancarkan pada Januari lalu. Paling ketara adalah pada penggunaan pemprosesan yang masih lagi sama, Qualcomm Snapdragon 6 Gen 1. Justeru, boleh dikatakan tiada peningkatan dari segi prestasi berbanding model sebelumnya.

Ia tidak mempunyai masalah untuk memainkan permainan-permainan mudah alih popular seperti COD Mobile dan PUBG Mobile. Asalkan anda tidak memainkan permainan yang amat tinggi keperluan grafiknya seperti Genshin Imapct, Delta Force dan sebagainya. Judul-judul tersebut hanya dapat dimainkan dengan lancar pada tetapan grafik rendah yang boleh mengurangkan rasa nikmat permainannya.

Kelebihan menggunakan pemprosesan sederhana ini adalah apabila anda tidak perlu berasa bimbang atau kurang selesa apabila ia menjadi terlampau panas. Suhu sekitar 40°C boleh dikirakan sebagai selesa untuk dipegang apabila bermain.

Kamera

OPPO Reno 14 F juga mengekalkan tetapan tri-kameranya melalui kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Turut disediakan kamera hadapan 32MP. Kamera-kameranya ini mampu memberikan kawalan cahaya seimbang, warna terang dan julat dinamik yang agak luas bagi sesebuah telefon pintar mercu.

Foto yang diambil dalam keadaan terang kelihatan hebat, manakala dalam keadaan yang suram, kesan hingarnya tidak begitu ketara. Ketiadaan kamera telefon menyebabkan telefon pintar ini tidak boleh mengambil foto dengan zum yang panjang dan ia memang sudah dijangkakan. Untuk tangkapan gambar jarak jauh, ia mampu melakukan zum digital sehingga 10x untuk foto dan video.

Rakaman video boleh dibuat dengan kualiti yang baik bersama-sama penstabil imej optikal (optical image stabilisation, OIS) terutamanya apabila merakam video sambil bergerak. Bagaimanapun, kamera hadapan tidak dilengkapkan dengan keupayaan tersebut dan mungkin kurang sesuai untuk anda yang ingin membuat kandungan vlog.

Kamera belakangnya boleh merekodkan vidoe pada resolusi 4K 30fps, manakala hadapannya pula terhad pada 1080p 30fps. Kamera ultra-lebarnya pula bagaimanapun tidak menyokong rakaman video.

Sampel foto

Sistem operasi dan bateri

Sistem operasinya pula masih turut kekal dengan Android 15 melalui antaramuka ColorOS 15 yang dijanjikan OPPO sokongan lima tahun untuk kemaskini utama Android.

Antaramukanya ini pada asasnya baik yang bersifat mesra pengguna, amat responsif dan menawarkan beberapa pilihan pengubahsuaian. Seperti yang dijangka, ia hadir dengan sejumlah aplikasi sarap (bloatware) yang kebanyakannya mungkin tidak akan digunakan. Ia boleh dinyahpasang seperti biasa bagi anda yang tidak memerlukannya.

Tempoh penggunaan baterinya yang berkapasiti 6,000mAh mampu bertahan bagi penggunaan sehari suntuk. Jika anda menggunakannya secara santai tanpa kerap menggunakan kamera atau bermain permainan, ia mampu bertahan sehingga dua hari. Dari segi pengecasan pula, ia boleh dipenuhkan dalam tempoh 1 jam 30 minit melalui pengecas 45W yang didatangkan bersama-sama dengannya.

OPPO 22.5W Energy Jelly Fast Charging Power Bank 10000

Siri OPPO Reno 14 lebih manis lagi jika digunakan bersama-sama aksesori pilihan OPPO 22.5W Energy Jelly Fast Charging Power Bank 10000. Ia dilancarkan bersama-sama siri telefon pintar ini di China pada 15 Mei lalu.

Berwarna turqoise yang diilhamkan oleh warna ‘garam laut’, ia mempunyai permukaan magnetik yang boleh dilekapkan dengan telefon pintar. Cuma pengecasannya hanya boleh dilakukan menerusi kabel USB-C dan juga port USB-C tambahan yang disediakannya. Ia tidak boleh mengecaskan peranti secara nirwayar

Output pengecasan power bank ini adalah pada 22.5W dengan kapasitinya berjumlah 10,000mAh. Ia boleh dicaskan menerusi port USB-C pada kadar 18W. Ia dijual pada harga RM149 dan boleh didapati di kedai dalam talian rasmi OPPO, Lazada, wakil pengedar yang sah di seluruh negara.

Tinggalkan komentar