Utama Android Oppo Ulasan OPPO Enco X – True Wireless Stereo dari OPPO

Ulasan OPPO Enco X – True Wireless Stereo dari OPPO

401
0

OPPO, antara pengeluar telefon pintar yang menguasai sebahagian pasaran dengan menawarkan peranti pada harga kompetitif tanpa mengorbankan soal kualitinya.

Selain dari telefon pintar, aksesori-aksesori keluaran OPPO juga berdaya saing dengan menawarkan rekaan dan kualitinya yang tersendiri. Antaranya, fon telinga tanpa wayar berkualiti premium – OPPO Enco X.

Rekaan OPPO Enco X

Dari segi rekaan, OPPO menawarkan fon telinga dengan rekaan yang paling menarik jika dibandingkan dengan siri fon telinga Enco lain setakat ini.

Fon telinga ini kelihatan mirip dengan rekaan AirPods Pro dengan membawakan rekaan fon telinga bertangkai. Pun begitu, tangkainya tidaklah begitu ketara apabila dipakai.

Ia juga selesa dipakai dan telinga tidak begitu terasa ‘tersumbat’ kerana ia didatangkan dengan tiga saiz getah pelapik fon telinga. Jadinya, anda boleh memilih jenis saiz yang sesuai dengan keselesaan anda.

Bersama-sama fon telinga ini, disediakan bekas simpanannya yang boleh juga digunakan untuk tujuan mengecasnya. Bergantung pada warna pilihan anda, warna bekas simpanan dan juga fon telinga ini ditawarkan dengan warna hitam atau putih.

Ia diperbuat dari plastik berkilat dengan jalur berwarna logam disekeliling sebelah luarnya. Turut disediakan lampu petunjuk LED yang menunjukkan keadaan sama fon telinga sedang dicas atau di dalam mod padanan. Bekas simpanan OPPO Enco X boleh dicaskan melalui port USB-C pada sebelah bawahnya. Pun begitu, fon telinga tanpa wayar OPPO ini turut menyokong pengecasan secara nirwayar.

Kualiti bunyi OPPO Enco X

Kekuatan fon telinga nirwayar ini pastinya terletak pada kualiti bunyi yang dibawakan olehnya. Untuk Enco X ini, OPPO membawakan pakar kejuruteraan audio dari Denmark, Dynaudio bagi meningkatkan mutu audionya. Usahasama ini turut dipaparkan pada bekas pengecas Enco X.

Kualiti audio dari fon telinga banyak menerima manfaat dari sistem dwi-pemacu untuk memantapkan bunyi Enco X menerusi rekaannya yang kompleks dari Dynaudio. Anda juga dapat memanfaatkan kualiti pendengaran melalui sokongan Dolby Atmos pada peranti anda apabila menyambungkan dengan OPPO Enco X ini.

Nikmat pendengaran dari audionya ini juga ditambahbaik dengan fungsi active noise-cancelling (ANC) yang disediakan.

Terdapat dua tahap ANC yang disediakan iaitu standard dan tinggi. Anda boleh mengawalnya menerusi fon telinga berkenaan dengan menekannya untuk tempoh lebih dari satu saat. Fungsi ANC ini juga boleh dimatikan mengikut keperluan anda.

Fungsi ANC ini membolehkan anda menyenyapkan bunyi-bunyi latar di sekeliling anda dan memberikan lebih tumpuan terhadap audio yang sedang dimainkan oleh anda.

Selain dari untuk menikmati muzik dan audio berkualiti ketika menonton filem, fon telinga ini juga bagus digunakan ketika mesyuarat dalam talian. Saya dapati suara yang dipertuturkan ketika mesyuarat dapat didengari dengan amat jelas, ketika keadaan talian internet lancar.

Penggandingan dengan Peranti dan Baterinya

Untuk menyambungkan dengan telefon pintar Android, OPPO Enco X mampu melakukannya dengan amat lancar walaupun dengan Samsung Galaxy A22 yang saya gunakan. Begitu juga halnya dengan tablet seperti Samsung Galaxy Tab S7 FE. Penyambungannya mudah dilakukan dengan hanya mengaktifkan Bluetooth pada peranti, dan pilih pada nama OPPO Enco X yang dipaparkan untuk menggandingkan (pairing).

Penggandingan dengan PC Windows pula memerlukan sedikit langkah tambahan. Anda perlu membuka bekas pengecas dengan kedua-dua fon telinga berada di dalamnya.

Kemudian tekan dan pegang (hold) butang pada bekas pengecas berkenaan selama 2 saat sehingga lampu penunjuknya bertukar putih. Seterusnya fon telinga berkenaan sedia untuk digandingkan. Lengkapkan langkah berikutnya pada paparan di PC Windows anda.

Saya tidak dapat memastikan sama ada fon telinga OPPO Enco X ini dapat digunakan pada peranti Apple. Cuma, berdasarkan pembacaan saya mendapati ia masih lagi belum dapat disokong setakat ini.

Melalui Bluetooth 5.2 padanya, fon telinga nirwayar OPPO ini berkeupayaan memainkan audio beresolusi tinggi terutamanya apabila anda melanggan perkhidmatan penstriman audio seperti Spotify Premium.

Seterusnya, bagi penggunaan baterinya, didapati OPPO Enco X mampu bertahan sekitar 5 jam lebih untuk sekali cas. Anda boleh melanjutkan tempohnya sehingga ke 20 jam dengan meletakkan bekas pengecasnya berhampiran.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, fon telinga nirwayar OPPO Enco X ini mampu menyediakan kualiti audio yang baik dan jelas bersesuaian dengan harga yang ditawarkannya.

Malah, bateri dan juga tahap keselesaan apabila menggunakannya juga dikira amat baik. Kadangkala saya terlupa sedang memakainya terutama ketika sedang mengikuti mesyuarat dalam talian.

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan OPPO Enco X ini, layari laman web rasmi OPPO Malaysia untuk maklumat lanjut.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.