Pertempuran telefon pintar boleh lipat paling nipis kini kembali lagi dengan pengeluar-pengeluar menghasilkan peranti yang lebih nipis dari generasi sebelumnya. HONOR turut tidak terkecuali di dalam persaingan ini dengan memperkenalkan Magic V5.
Model ini hadir dengan dua versi ketebalan mengikut warnanya. Versi Dawn Gold, Silk Brown, dan Black berketebalan 9mm apabila dilipat dan 4.2mm apabila dibuka. Manakala versi Ivory White seperti unit ulasan yang kami terima ini lebih nipis sedikit dengan berukuran 8.8mm apabila dilipat dan 4.1mm apabila dibuka lipatannya.
Sesebuah telefon pintar bukan diukur berdasarkan betapa ‘kurus’nya ia semata-mata. Perkara-perkara lain pun perlu diambil kira bagi menjadikan ia telefon pintar yang terbaik. Untuk itu, Magic V5 tidak berkompromi dalam soal kualiti dan prestasinya walaupun badannya kini tampil ‘lebih kurus’.
Harga HONOR Magic V5 di Malaysia
Bersaing secara bersemuka dengan OPPO Find N5, Samsung Galaxy Z Fold 7 dan Huawei Mate X6, HONOR Magic V5 dijual pada harga:
- Honor Magic V5 (16GB+512GB) – RM6,999
Harganya sama seperti Magic V3 dilancarkan di Malaysia pada tahun lepas. Pra-tempahannya telah pun dibuka sejak dari 15 Julai sehingga 24 Julai ini. HONOR menawarkan hadiah percuma bernulai sehingga RM3,497 berbentuk pembesar suara Harmon Kardon Onys Studio 9 bersama-sama Perlindungan Keretakan 1-Tahun percuma dan pakej Jaminan Kualiti Bebas Kerisauan selama 2 tahun.
Spesifikasi HONOR Magic V5
| Ukuran | Ivory White Dilipat: 156.8 x 74.0 x 8.8mm (dilipat) Dibuka: 156.8 x 145.9 x 4.1mm (dibuka) Warna lain (Dawn Gold, Silk Brown, Black) Dilipat: 156.8 x 74.0 x 9mm (dilipat) Dibuka: 156.8 x 145.9 x 4.2mm (dibuka) |
| Berat | 217g (Ivory White sahaja); 222g (Dawn Gold, Silk Brown, Black) |
| Paparan | Skrin luaran: 6.43-inci 120Hz LTPO OLED beresolusi 2376 x 1060 piksel, 5,000 nits (puncak) sokongan HONOR Magic Pen, HONOR Anti-scratch NanoCrystal Shield Skrin utama: 7.92-inci 120Hz LTPO OLED boleh lipat beresolusi 2,172 x 2,352 piksel, 1,600 nits (puncak), 402 ppi, sokongan HONOR Magic Pen, Dolby Vision, HONOR Super-Armored Inner Screen |
| Resolusi | Skrin luaran: 1,060 x 2,376 piksel, Skrin utama: 2,172 x 2,352 piksel |
| Pemprosesan | Qualcomm Snapdragon 8 Elite |
| RAM | 16GB |
| Storan | 512GB |
| OS | MagicOS 9 with AI, berasaskan Android 15 |
| Kamera belakang | utama 50MP 1/1.56-inci Super Sensor, ultra-lebar 50MP, telefoto 64MP OIS + EIS Zum 100X |
| Kamera hadapan | 20 MP (skrin dalaman + skrin luaran) |
| Bateri | 5,820mAh |
| Pengecasan | Berwayar 66W, nirwayar 50W |
Rekabentuk
Tahap kenipisan untuk sesebuah telefon pintar dengan teknologi yang ada sekarang ini pada pandangan saya sudah mencapai kemuncaknya. Ini adalah tahap paling nipis yang mampu dicapai tanpa mengorbankan praktikaliti sesebuah telefon pintar. Magic V5 apabila dilipat mempunyai ketebalan yang lebih kurang sama seperti telefon pintar konvensional yang lain.
Pun begitu, ia masih lagi mempunyai masalah sama seperti yang dihadapi oleh Magic V3 melibatkan saiz modul kameranya. Selain dari kelihatan janggal jika dibandingkan dengan kenipisan bahagiannya yang lain, ia juga menjadikan telefon pintar ini berjungkang-jungkit apabila diletakkan pada permukaan rata seperti di atas meja.
Magic V5 diketengahkan oleh HONOR sebagai telefon pintar boleh lipat tahan lasak. Ia membantu meningkatkan keyakinan sesetengah pengguna untuk memiliki peranti boleh lipat tanpa perlu terlalu risau akan merosakkannya. Kelasakannya dibuktikan melalui ketahanan engselnya HONOR Super Steel generasi kedua yang mampu menampung beban yang amat berat. Ia dibuktikan melalui demonstrasi beban menggunakan sofa dan juga sebuah dumb-bell 35kg ketika sesi penerangan kepada media baru-baru ini.
Selain engselnya, penggunaan bahan tahan lasak turut dimanfaatkan pada skrin dalaman dan skrin luarannya. Untuk skrin dalamannya, ia menggunakan bahan teknologi bendalir Non-Newtonian yang dipertingkatkan ketahanannya daripada risiko calar.
Perlindungannya turut dipertingkatkan dari segi debu dan air menerusi penarafan IP58 dan IP59. Justeru, menjadikan Magic V5 mendapat perlindungan dari risiko kerosakan tersebut lebih baik berbanding telefon pintar boleh lipat lain di pasaran buat masa ini.
Cuma berkenaan kedutan lipatan pada skrin dalamannya seolah-olah tidak dapat diatasi pada mana-mana peranti boleh lipat. HONOR telah menunjukkan kemajuan yang baik dari segi ini sejak peranti boleh lipat pertamanya diperkenalkan. Kesan kedutan tersebut hanya dapat dilihat apabila skrin dimatikan dan ia tidak kelihatan apabila sedang digunakan.
Ia tidak begitu ketara bagi penggunaan yang kasual. Namun ketika melukis menggunakan pena stylus yang disokongnya, kesan lekukan tersebut dapat dirasai.
Perisian
HONOR Magic V5 menggunakan sistem operasi Android 15 menerusi antaramuka Magic OS 9. Sebagaimana telefon-telefon pintar mercu moden masa kini, Magic V5 turut menampilkan sejumlah fungsi-fungsi berkuasa AI. Secara lalai, skrin utamanya mempunyai widget AI Suggestions yang memaparkan sekelompok aplikasi-aplikasi pilhan berdasarkan apa yang kita guna dan buka sebelum ini.
Selain dari fungsi terjemahan yang pernah disediakan pada model sebelumnya, model kali ini juga menyertakan ciri pengesanan Deepfake baharu untuk panggilan video.
Tidak ketinggalan, ciri mengesan objek-objek asing akan memaklumkan kepada pengguna jika terdapat sebarang objek seperti pasir dan ketulan yang terselit pada skrin dalaman apabila dilipat.
Prestasi dan Bateri
HONOR Magic V5 dilengkapkan dengan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite. Justeru, ia mampu mengendalikan apa jua aplikasi termasuk permainan mudah alih berkeperluan grafik yang tinggi serta melaksanakan tindakan berbilang tugasan seperti membuka perlbagai aplikasi secara serentak.
Anda boleh membuka aplikasi-aplikasi berbeza secara serentak di dalam bentuk tiga paparan skrin berbahagi. Selain itu, anda juga boleh membuka ketiga-tiga aplikasi secara serentak dengan salah satu tetingkap aplikasi terapung di atas aplikasi lain. Gandingan aplikasi-aplikasi ini juga boleh disimpan ke halaman utama untuk memudahkan akses pada masa yang lain.
Prestasi permainan seperti yang dijangka dapat dikendalikan dengan lancar termasuk pada tetapan paling tinggi bersama aplikasi-aplikasi lain sedang dibuka di latarnya. Beberapa aplikasi permainan yang boleh dilaraskan saiz tetingkapnya boleh dimainkan bersama-sama video aplikasi video Youtube di sebelahnya.
Prestasi cemerlangnya ini bagaimanapun mempunyai kekurangan dari segi kawalan suhu. Ia dapat dirasakan terutamanya apabila anda memainkan permainan pada skrin dalamannya. Hal ini disebabkan oleh kenipisannya yang menyebabkan pemprosesannya mudah menjadi sedikit panas apabila menjalankan aplikasi berkeperluan grafik tinggi.
Dari segi bateri, Magic V5 untuk pasaran Malaysia mempunyai kapasiti 5,820mAh dan ia mampu bertahan untuk kira-kira 12 jam untuk fungsi memainkan video secara berterusan menggunakan skrin dalaman. Untuk skrin luaran pula, ia mampu bertahan kira-kira 17 jam untuk fungsi memainkan video.
Prestasi ini dianggap sebagai wajar mengambil kira faktor skrin-skrin peranti ini, kapasiti bateri, serta tahap ketebalan baterinya yang kelihatan seperti tebal sekeping kad. Bagi penggunaan harian biasa, ia mampu bertahan lebih dari dua hari untuk sekali cas.
Kamera
Hadir dengan tri-kamera seperti model sebelumnya, Magic V5 memiliki sebuah kamera utama 50MP, kamera telefoto berperiskop 64MP, dan kamera ultra-lebar 50MP. Kesemua kamera-kamera ini menyokong algoritma AI bagi meningkatkan mutu pengimejannya.
Beberapa profil warna disediakan di dalam aplikasi Camera, antaranya Natural, Vibrant, dan Authentic. Sesuai dengan nama-nama profil tersebut, mod Natural memberikan profil warna yang tampak lebih semula jadi. Manakala Vibrant pula menaikkan tona warna suam kepada imej yang lebih cerah. Akhir sekali mod Authentic pula menaikkan ketumpatan dan menambahkan sedikit kesan gelap.
Sokongan zum mampu dicapai sehingga ke tahap 100x dan ia dilaksanakan secara digital dengan sokongan AI. Imej yang diambil pada tahap ini secara amnya tidak begitu baik. Terdapat kesan-kesan hingar dan agak ketara AI digunakan bagi mengisi perinciannya.
Pada pandangan saya, imej yang ditangkap pada tahap zum ini berguna jika subjek yang diambil adalah bentuk bangunan dari jarak jauh. Namun, ia tidak begitu praktikal untuk digunakan secara santai kerana anda memerlukan tripod atau tangan yang tidak bergetar untuk mengambil gambar zum jarak jauh tersebut.
Sampel foto-foto HONOR Magic V5
Kesimpulan
Telefon pintar boleh lipat model baharu dari pelbagai pengeluar kian menjadi satu kelaziman di pasaran pada ketika ini yang tentunya menjadi saingan mencabar buat HONOR Magic V5. Dari segi rekabentuknya, beberapa pengeluar lain sudah mengekori rapat dengan tahap kenipisan yang semakin mencapai ke paras maksimanya.
Pun begitu, faktor tahan lasaknya terutama dari segi bahan binaan, struktur engselnya yang kukuh dan juga penarafan kerintangan debu dan air, IP58 dan IP59 menjadi tunjang utama kekuatan Magic V5. Tambahan pula dengan sokongan pena stylus menjadikan peranti boleh lipat ini peranti pilihan para karyawan yang inginkan penghasilan kandungan tanpa perlu mengusung peranti yang besar.
HONOR Magic V5 juga sarat dengan ciri-ciri praktikal seperti fungsi berbilang tugasan yang mudah dan ringkas. Pada harga RM6,999, HONOR Magic V5 sesuai dengan namanya yang memberikan pengalaman magis buat penggunanya.




















