Tahun ini Samsung memberikan perubahan besar pada rekabentuk luaran siri Galaxy Watch dengan memperkenalkan “Cushion Design”. Galaxy Watch 8 pada tahun ini juga lebih nipis disamping turut memperkenalkan beberapa ciri baharu termasuk boleh bercakap dengan Gemini terus pada jam tangan anda.

Ia ditampilkan sebagai lebih minimal, lebih berestetika moden dan 11% lebih nipis berbanding Galaxy Watch 7 pada tahun lepas. Menurut Samsung pengurangan saiz ini dapat dicapai hasil kejuruteraan semula susun atur dalaman dengan papan litar bercetak (PCB) bersisi tunggal baharu. Sistem engsel dinamiknya juga direka semula bagi meningkatkan keselesaan dan kestabilannya.

Harga Galaxy Watch 8 di Malaysia

Dari segi warna, Galaxy Watch 8 ditawarkan di dalam pilihan warna Graphite dan Silver. Manakala untuk Watch 8 Classic pula ia didatangkan pilihan warna Black and White. Berdasarkan pengumuman rasmi oleh Samsung tempoh hari, berikut senarai harga bagi siri Galaxy Watch 8 di Malaysia:

  • Galaxy Watch 8 (40mm) WiFi – RM1,299
  • Galaxy Watch 8 (40mm) WiFi + LTE – RM1,599
  • Galaxy Watch 8 (44mm) WiFi – RM1,399
  • Galaxy Watch 8 (44mm) WiFi + LTE – RM1,699
  • Galaxy Watch 8 Classic (46mm) WiFi – RM1,799
  • Galaxy Watch 8 Classic (46mm) WiFi + LTE – RM2,099
  • Galaxy Watch Ultra 2025 (47mm) WiFi + LTE – RM3,399

Spesifikasi Galaxy Watch 8

Nama Model Samsung Galaxy Watch 8
Warna Graphite, Silver
Saiz 40mm: 40.4 x 42.7 x 8.6mm

44mm: 43.7 x 46 x 8.6mm

Berat (tanpa tali strap) 30g (40mm); 34g (44mm)
Ketahanan 5ATM + IP68 / MIL-STD-810H; Sapphire Crystal
Paparan 40mm: 1.34-inci (438×438) AMOLED, 3,000 nits

44mm: 1.47-inci (480×480) AMOLED, 3,000 nits

Pemprosesan Exynos W1000
Memori 2GB
Storan 32GB
Bateri 40mm: 325mAh

44mm: 435mAh

Pengecasan Pengecasan pantas nirwayar berasaskan WPC
Penderia (Sensor) Sensor BioActive (Optikal + Isyarat Nadi Elektrikal (Electrical Heart Signal + BIA), Suhu, Accelerometer, Barometer, Gyro, Geomagnetik, Sensor cahaya
Ketersambungan LTE (pilihan), Bluetooth 5.3, Wi-Fi 2.4+5GHz, NFC, L1+L5 dwi-frekuensi GPS, Glonass, Galileo, Beidou
Perisian Wear OS 6 (One UI 8 Watch) dengan sokongan kemaskini empat tahun sehingga 2029

Rekabentuk

Jam tangan pintar ini ditawarkan dalam dua pilihan saiz – 40mm dan 44mm. Kedua-duanya ringan dan nipis sedikit berbanding generasi sebelumnya. Bentuknya kini berbeza dengan menampilkan bentuk segiempat bercampur bulat (squircle, square + circle) yang dinamakan oleh Samsung sebagai “cushion design”.

Sesuai dengan nama rekaan tersebut, sisinya yang diperbuat daripada aluminium ini dapat mengurangkan risiko kesan calar apabila secara tidak sengaja bergesel pada dinding. Bentuk badan bersegi ini juga menyumbang kepada ruangan bateri yang besar sedikit berbanding generasi sebelum ini walaupun kali ini ia lebih nipis.

Muka jamnya yang berbentuk bulat seperti biasa merupakan panel yang sensitif sentuhan. Anda boleh mengetik atau menyapu untuk melakukan navigasi selain boleh juga meluncurkan jari pada bezel.

Saiz skrin masih lagi sama pada 1.3-inci untuk varian 40mm dan 1.5-inci untuk varian 44mm. Galaxy Watch 8 menggunakan panel AMOLED dengan warna-warna yang cantik dan terang sehingga 3,000 nits apabila digunakan di luar. Ia lebih tinggi dari Galaxy Watch 7 yang mempunyai 2,000 nits.

Ketahanan air untuk jam tangan pintar ini juga masih lagi sama dengan IP68 dan 5ATM. Justeru membolehkan ia direndam pada kedalaman sehingga 50 meter. Bagaimanapun, ia masih lagi bukan jam tangan untuk menyelam dan untuk penarafan 5ATM, ia tidak boleh bertahan untuk selaman laut dalam.

Galaxy Watch 8 menggunakan tali jam baharu “Dynamic Lug” yang berbeza dengan generasi sebelumnya bagi memudahkan penukaran tali jam. Atas sebab itu, anda yang mempunyai koleksi tali jam siri Galaxy sebelum ini tidak dapat memadankannya dengan yang baharu.

Perisian

Sebagaimana siri Galaxy Watch yang lain, generasi baharu ini juga menggunakan Wear OS melalui antaramuka Samsung One UI Watch 8. Versi ini berdasarkan sistem operasi Wear OS 6.

Manfaat besar Galaxy Watch 8 dapat lebih dinikmati apabila disambungkan dengan aplikasi Samsung Health. Berbeza dengan sesetengah aplikasi kesihatan dengan jam tangan pintar lain, aplikasi ini menawarkan keseluruhan ciri-cirinya secara percuma.

Lebih menarik lagi, Samsung turut menambahkan sokongan akses Google Gemini terus pada jam tangan pintar ini. Anda boleh bercakap secara terus dengannya tanpa perlu membuka telefon pintar anda. Cuma sayang, fungsi Google Gemini pada Galaxy Watch 8 ini terhad untuk pertanyaan umum sahaja dan tidak boleh memberikan nasihat latihan kecergasan berdasarkan data di dalam jam tangan pintar yang digunakan.

Pun begitu, Galaxy Watch 8 menyediakan sejumlah ciri-ciri sokongan kecergasan yang boleh dimanfaatkan anda seperti:

Running Coach

Salah satu fungsi yang amat berguna pada jam tangan pintar Samsung baharu ini – Running Coach. Ia melibatkan kaedah senaman berintensiti tinggi yang memerlukan anda berlari selama 12 minit untuk mendapatkan penilaian tahap atau keadaan larian anda.

Pada pandangan saya ia amat berguna untuk pelari baharu (atau lebih tepat noob) seperti saya. Selepas penilaian awal dibuat, jam tangan berkenaan seterusnya merangka rancangan untuk mencapai sasaran larian anda, sama ada maraton penuh atau sekadar larian santai 5KM.

Antara yang dicadangkan olehnya merangkumi nasihat tumpuan pada larian perlahan dengan kawalan kelajuan bertempo. Ciri sebegini bukanlah sesuatu yang baharu pada jam tangan pintar, namun ia sesuatu yang perlu diraikan untuk membantu kecergasan pengguna.

Sleep Score dan Energy Score

Galaxy Watch 8 memperkenalkan ciri baharu yang dinamakan sebagai penjejakan muatan vaskular (vascular load tracking). Ia merupakan kaedah memantau tekanan pada arteri darah anda. Rekod penggunaan ciri ini lebih berkesan jika dipakai selama tiga malam berturut-turut untuk menunjukkan tahap ketenangan anda terhadap stress.

Untuk ciri kesihatan tidur pula penambahan baharu Galaxy AI dimanfaatkan untuk membantu anda mendapatkan tidur yang lebih berkualiti. Ia akan memberikan pesanan-pesanan yang berkait dengan waktu tidur seperti jangan berjaga terlalu lewat dan sebagainya.

Ciri-ciri penjagaan masa tidur sememangnya tidak asing lagi untuk siri Galaxy Watch yang sebelum ini hadir melalui ciri merekod tahap tidur, suhu kulit, dan juga mengesan dengkur. Malah, ciri mengesan masalah sleep apnea juga diperkenalkan pada Galaxy Watch 7.

Indeks Anti-oksidan

Selain dari ciri-ciri pengukuran metrik yang biasa ditawarkan pada siri Galaxy Watch sebelum ini, Galaxy Watch 8 memperkenalkan ciri baharu Indeks Anti-oksidan. Untuk menggunakan ciri ini anda perlu menanggalkan jam tangan dan menekan ibu jari pada sensor dalam 5 saat untuk pengukuran.

Terdapat tiga kategori yang dipaparkan iaitu “very low”, “low” dan “adequate”. Bagi kebanyakan kita di zaman moden pada kebiasaannya akan jatuh ke kategori “low” dan cadangan diet akan dipaparkan berdasarkan keputusan tersebut.

Selain ciri tersebut, Galaxy Watch 8 juga menyediakan ciri-ciri pada model-model sebelumnya seperti indeks “advanced glycation end products (AGEs)”, ECG dan juga Blood Pressure (Tekanan Darah). Berdasarkan pengalaman saya dengan Galaxy Watch sebelum ini, mengukur tekanan darah menggunakan jam tangan pintar ini tidak begitu praktikal kerana perlu dikalibrasi dari semasa ke semasa dengan alat pengukur yang sebenar, Sfigmomanometer.

GPS, Sensor kadar nadi dan senaman

Sensor pada Galaxy Watch 8 masih lagi sama, cuma dengan lekapan yang lebih kemas dan “cushion design” baharu, anda boleh mendapatkan bacaan yang lebih molek. Kadar denyutan nadi juga lebih tepat dan selari dengan bacaan dari peranti boleh pakai pintar lain.

Pengesanan senaman automatik pada Galaxy Watch 8 juga boleh dikirakan sebagai antara yang terbaik. Ia mampu mengesan aktiviti kecergasan yang sedang anda lakukan seperti berjalan kaki (briskwalk) atau sedang berbasikal.

Fungsi GPS dwi-jalur masih lagi dikekalkan sejak ia mula diperkenalkan pada siri Galaxy Watch. Ia membantu meningkatkan kejituan GPS terutamanya apabila anda sedang menjalankan rutin larian anda di kawasan-kawasan berkepadatan tinggi seperti di Kuala Lumpur.

Data aktiviti-aktiviti senaman anda juga dipersembahkan dengan kemas dan mudah difahami dengan memberikan konteks-konteks yang bersesuaian untuk penggunaan harian.

Bateri dan Pengecasan

Saiz bateri Galaxy Watch 8 mempunyai sedikit peningkatan dengan Watch 8 40mm berkapasiti 325mAh, manakala Watch 44mm pula berkapasiti 435mAh. Peningkatan 300mAh dan 425mAh masing-masing pada 40mm dan 44mm Galaxy Watch 7 sebelum ini.

Pemprosesan jam tangan pintar baharu ini masih lagi sama dengan siri Watch 7 yang menggunakan Samsung Exynos W1000. Apa yang sedikit mengecewakan dengan prestasi bateri jam tangan pintar adalah tempoh penggunaannya.

Dalam kebanyakan masa ia perlu dicaskan selepas digunakan selama sehari. Ia tidak dapat digunakan sampai lebih dari dua hari sebelum ia perlu dicaskan. Kesannya mungkin ada beberapa malam yang kita terlupa untuk memakainya untuk memantau tidur gara-gara terlupa ia sedang dicaskan.

Galaxy Watch 8 menggunakan pengecas magnetik yang sama seperti model sebelumnya. Justeru, anda yang menggunakan generasi sebelumnya masih lagi boleh menggunakan pengecas berkenaan pada model baharu ini. Masa mengecasnya pula mengambil kira-kira 1 jam 19 minit dari sifar sehingga penuh.

Kesimpulan

Galaxy Watch 8 sekali lagi membuktikan Samsung berupaya menerajui industri dari segi rekabentuk dan keaslian inovasinya. “Cushion design” baharu ini walaupun kelihatan sedikit canggung di dalam gambar, masih lagi kelihatan bergaya apabila anda menggayakannya. Ia juga menambahkan ciri kelasakannya dengan mengurangkan risiko kesan calar pada muka jam.

Lain-lain ciri-ciri melibatkan ukuran metrik kesihatan masih lagi hampir sama dengan model terdahulu dengan penambahan beberapa fungsi yang amat berguna. Pada saya “Running Coach” berupaya membantu pengguna-pengguna yang beraspirasi menjadikan aktiviti senaman larian sebagai hobi yang menyihatkan tubuh badan.

Tinggalkan komentar