TikTok telah kembali beroperasi di Amerika Syarikat (A.S.) dalam tempoh kurang 24 jam selepas diumumkan dikenakan sekatan atas sebab kebimbangan mengancam keselamatan negara.

Pengaktifan semula akses ini rentetan kenyataan daripada Presiden Donald Trump yang berjanji melanjutkan rangka masa berhubung isu pemantauan aplikasi terbabit dan usul model pemilikan bersama melibatkan pegangan Amerika Syarikat sebanyak 50%.

Penggantungan perkhidmatan TikTok bermula lewat Sabtu lalu apabila aplikasi berkenaan tidak boleh digunakan oleh pengguna di Amerika Syarikat. Ia juga telah dialih keluar daripada Apple App Store dan Google Play Store. Gangguan capaian ini berlaku apabila undang-undang yang menyekat aplikasi tersebut yang atas dakwaan syarikat induk TikTok ByteDance boleh menyalahgunakan data pengguna AS mula dikuatkuasakan.

TikTok telah mengesahkan pengaktifan semula secara berfasa tersebut dengan sebahagian fungsi-fungsi asas mula kembali pada Ahad lalu. Bagaimanapun ia masih lagi belum boleh dimuat turun melalui platform gedung dalam talian di AS. Pihak syarikat dalam pada masa yang sama menyatakan rasa berterima kasih kepada Donald Trump atas janji beliau.

Keputusan Donald Trump menandakan perubahan pada pendirian beliau terhadap TikTok berbanding ketika beliau pertama kali memegang jawatan sebagai Presiden AS. Jika sebelum ini beliau cenderung ke arah mengharamkan platform tersebut atas kebimbangan data peribadi, kali ini beliau mengakui pengaruh TikTok mendekatkan beliau dengan pengundi muda ketika pilihanraya 2024.

Pun begitu, rancangan untuk menyelamatkan TikTok berdepan tentangan dari dalam parti Trump sendiri. Antaranya Senator Republikan Tom Cotton dan Pete Ricketts yang menggesa ByteDance memutuskan perhubungan dengan China.

Aplikasi milik ByteDance lain seperti CapCut, Lemon8 dan permainan mudah alih popular Marvel Snap masih lagi tidak tersedia di AS. Trump turut menegaskan hasrat untuk memuktamadkan isu berkaitan keselamatan negara dengan membenarkan TikTok beroperasi dalam pemantauan yang lebih ketat. Buat masa ini fungsi keseluruhan TikTok masih lagi belum dipulihkan sepenuhnya, dan ketersediaannya di gedung aplikasi utama masih lagi tergantung statusnya.

Tinggalkan komentar