Hari ini U Mobile telah memperkenalkan pelan baharu Ultra Unlimited Wireless Broadband dan waktu pelancarannya amat bertepatan dalam keperluan semasa masa kini.

Pun begitu, walaupun nama pelan ini dinamakan Ultra Unlimited Wireless Broadband, ianya bukanlah “tanpa had” dalam erti kata sebenar. Bahagian tanpa hadnya hanya terhad pada aplikasi-aplikasi terpilih bergantung pada jenis pelan yang anda pilih.

Bagaimanapun, kesemua pelan-pelan yang disediakan didatangkan dengan kuota data tanpa had bagi penggunaan Zoom dan Google Meet yang kini digunakan secara meluas bagi tujuan pembelajaran dalam talian.

Data untuk kegunaan pembelajaran dalam talian dan bekerja dari rumah

U Mobile Ultra Unlimited Wireless Broadband PlanPelan paling murah, WB48 Study Plan menyediakan data kegunaan umum sebanyak 20GB pada harga RM48 sebulan. Seterusnya untuk WB68 Work Plan (RM68/bulan) pula menyediakan kuota data kegunaan umum sebanyak 30GB dan data tanpa had bagi aplikasi produktivi Microsoft 365 seperti Word, Excel, Powerpoint dan sebagainya.

Anda juga boleh memilih pelan WB88 Work & Play yang menyediakan data kegunaan umum 50GB. Ianya turut menawarkan data tanpa had untuk kegunaan Shoppe, Lazada, Mobile Legend: Bang Bang, Free Fire, dan CoD Mobile pada harga RM88 sebulan.

Pelan WB128 Max pula menawarkan kuota data kegunaan umum terbesar iaitu 150GB pada harga RM128 sebulan.

Harus diingat, kesemua pelan ini hadir dengan had laju bergantung pada pelan yang anda pilih. Untuk pelanggan pelan WB48, kelajuan anda akan dihadkan pada 10Mbps sahaja. Manakala bagi pelan WB68 dan WB88 kelajuan tertinggi yang diberikan adalah 20Mbps. WB128 pula had kelajuan yang ditetapkan pada 30Mbps.

Sebagai promosi pelancaran pelan baharu ini, U Mobile kini menawarkan potongan 50% bayaran bulanan untuk semua pelan Ultra Unlimited Wireless Broadband selama 24 bulan. Untuk layak menerima promosi potongan 50% ini, anda perlu mendaftar atau pelanggan sedia ada pelan pascabayar GX68, P79, P99, atau P139.

Selain tanpa ikatan kontrak, pelan data sahaja ini tidak memerlukan pelanggan untuk membeli apa-apa peranti dari U Mobile. Kad SIM pelan ini boleh dimasukkan sendiri pengguna pada tablet, router Wi-Fi mudah alih, laptop atau apa-apa peranti komunikasi.

Bagi pengguna yang ingin mendapatkan sendiri peranti Wi-Fi mudah alih sendiri, U Mobile menawarkan Huawei E5577-321 MiFi pada harga RM299.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi laman web rasmi U Mobile untuk anda lebih memahami terma dan syarat yang ditetapkan.

Tinggalkan komentar