U Mobile, kini memperluaskan jangkauan rangkaian “ULTRA 5G” mereka di Sabah, meliputi kawasan utama seperti Kota Kinabalu, Tuaran, Beaufort, dan Kudat.

Langkah perluasan ini turut melibatkan penambahbaikan liputan dalam bangunan di lokasi strategik termasuk Pusat Membeli-belah Imago dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bagi memastikan sambungan yang lebih stabil dan pantas untuk pengguna di negeri tersebut.

Peluasan ini adalah sebahagian daripada strategi agresif U Mobile untuk mengukuhkan kedudukan mereka di Malaysia Timur, sejajar dengan visi menyokong transformasi digital negeri.

Rangkaian ULTRA 5G ini menjanjikan pengalaman sambungan berkualiti tinggi dengan kadar pendam (latency) yang rendah, membolehkan panggilan video lebih jelas dan penstriman langsung yang lancar walaupun di kawasan yang mempunyai trafik rangkaian yang tinggi.

Menurut Ketua Pegawai Teknologi U Mobile, Woon Ooi Yuen, inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna persendirian tetapi juga sektor perusahaan.

“U Mobile telah mengembangkan rangkaian 5G generasi akan datang secara agresif dan kami berbesar hati dapat memperkukuhkan lagi kehadiran kami di Sabah, menyokong transformasi digital negeri serta pertumbuhan ekonomi digitalnya. Dengan ketersediaan pengalaman ULTRA 5G yang lebih meluas, kami menyasarkan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan sambil membolehkan rakyat Sabah merebut peluang pendigitalan melalui aplikasi 5G-AI, di samping penyelesaian gred perusahaan dan perkhidmatan keselamatan siber,” katanya dalam satu kenyataan.

U Mobile turut bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan, Celcom Timur Sabah, bagi penyediaan infrastruktur gentian backhaul. Kerjasama ini bukan sahaja mempercepatkan pelaksanaan rangkaian, malah membuka peluang pekerjaan tempatan dan pembangunan kemahiran di rantau ini.

Perkembangan terkini U Mobile di Sabah

  • Liputan Diperluas: Kini tersedia di Kota Kinabalu, Tuaran, Beaufort, dan Kudat.
  • Sambungan Dalam Bangunan: Tersedia di lokasi tumpuan seperti Imago Mall dan KKIA.
  • Pusat Perkhidmatan Baharu: Pembukaan kedai runcit perkhidmatan penuh di Kompleks Karamunsing pada Januari 2026.
  • Pelan Khusus: Penawaran pelan U Borneo Prepaid, U Borneo Postpaid, dan U Home 5G Borneo yang disesuaikan untuk pengguna Malaysia Timur.

Bagi meraikan peluasan rangkaian ini, U Mobile turut menganjurkan festival “CARA U Sabah ULTRA5G Fest” yang berlangsung dari 6 hingga 8 Februari 2026 di Jeti DBKK, menampilkan persembahan artis dan pelbagai aktiviti digital untuk komuniti setempat.

Tinggalkan komentar