Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah meningkatkan tekanan terhadap Apple dengan mengancam untuk mengenakan tarif 25% untuk semua iPhone di pasaran AS yang bukan buatan tempatan.

Dalam kenyataan platform media sosial milik beliau Truth, Trump memberi amaran Apple perlu memindahkan pengeluarannya ke AS atau berdepan penalti, sambil memetik kebimbangan peluang pekerjaan pengeluaran dan ketegangan hubungan dengan China.

“Saya dah lama memaklumkan Tim Cook Apple yang saya nak sangat iPhone mereka.. akan dihasilkan dan dibuat di Amerika Syarikat, bukan India, atau mana-mana tempat,” tulis beliau. “Jika itu tidak berlaku, Tarif sekurang-kurangnya 25% perlu dibayar oleh Apple kepada AS.”

Amaran Presiden AS ini hadir berikutan laporan Apple telah mempercepatkan rancangan untuk memindahkan sebahagian besar proses pengeluarannya ke India, dalam usaha mengurangkan kebergantungan pada China dan mengurangkan impak ketegangan hubungan dagang yang sedang berlaku.

Walaupun Cook baru-baru ini mengesahkan kebanyakan iPhone yang dijual di AS pada sukuan berikutnya adalah buatan India, Trump dalam satu kenyataannya di persidangan perdagangan di Doha, Qatar minggu lepas memaklumkan untuk tidak membuat pengeluaran produk di sana.

Penganalisis termasuk Ming-Chi Kuo berpendapat dari sudut kewangan Apple lebih wajar menyerap kos tarif tersebut dari memindahkan pengeluaran ke AS. “Dari segi keuntungan, lebih baik untuk Apple membayar tarif 25% pada iPhone di jual di pasaran AS berbanding memindahkan kilang-kilang iPhone ke AS,” kata Kuo di X.

Apple turut dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menaikkan harga untuk siri iPhone 17 yang akan datang. Namun mengambil langkah untuk mengelakkan dari memberikan kesan terhadap kenaikan tarif barangan import dari China.

Ancaman tarif daripada Trump tidak hanya melibatkan Apple. Rentetan dari sidang media White House, beliau mengesahkan pengeluar telefon pintar lain termasuk Samsung dan jenama-jenama lain juga akan dikenakan tarif 25% jika terus membuat produk di luar AS.

“It would be also Samsung and anybody that makes that product, otherwise it wouldn’t be fair,” ujar beliau. “So anybody that makes that product, and that’ll start on, I guess, the end of June.”

Tinggalkan komentar