Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pada hari ini telah mengumumkan peralihan siaran TV analog ke siaran TV digital akan dilaksanakan secara berperingkat. Menurut SKMM, langkah ini diambil sebagai sebahagian dari rancangan mempersiapkan siaran TV tempatan ke era digital.
Pengumuman berkenaan telah dibuat di Kompleks Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Langkawi yang turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Encik Gobind Singh Deo. Sejak dari 21 Julai lalu, satu ujian rintis telah berjaya dilaksanakan oleh pihak SKMM di sekitar Langkawi.
Siaran TV digital berkenaan telah berjaya diakses oleh seramai 72,075 orang penduduk di Langkawi. Lanjutan dari kejayaan ini, pihak kerajaan berhasrat akan memperluaskan lagi siaran TV digital ini ke seluruh Malaysia secara berperingkat.
Pihak kementerian juga memaklumkan siaran TV analog akan ditutup sepenuhnya hanya jika seluruh negara sudah bersedia menerima perubahan siaran ini.
Berikut adalah jadual pelaksanaan perubahan siaran TV analog dan siaran TV digital mengikut wilayah;
| Wilayah | Tarikh Pelaksanaan |
| Tengah dan Selatan | 19 Ogos 2019 |
| Utara | 2 September 2019 |
| Pantai Timur | 17 September 2019 |
| Sabah dan Sarawak | 30 September 2019 |
Buat masa ini, siaran TV digital disiarkan melalui perkhidmatan myFreeview dari MYTV. Sebanyak 15 saluran TV dan 6 saluran radio boleh didapati secara percuma seperti RTM, Media Prima dan sebagainya melalui perkhidmatan ini yang juga boleh ditonton dalam kualiti SD dan HD.
Bagi pengguna siaran TV analog yang ingin beralih ke siaran TV digital nanti, anda perlu mendapatkan dekoder MYTV dan aerial Ultra High Frequency (UHF) untuk dipasangkan pada set TV yang digunakan anda. Atau, boleh mendapatkan Integrated Digital TV (IDTV) yang boleh disambungkan terus ke aerial UHF untuk mendapatkan siaran digital.
Sumber berita diperoleh dari Berita Harian













