UMW Toyota Motor telah melancarkan model mercu (flagship) baharu, Toyota Vellfire 2.5 HEV Executive Lounge, untuk pasaran tempatan.

Model hibrid elektrik (HEV) ini diperkenalkan dengan harga jualan RM550,100 tidak termasuk insurans ini menawarkan peningkatan ketara dari segi prestasi dan kecekapan bahan api berbanding model petrol standard 2.5 liter.

Vellfire 2.5 HEV Executive Lounge dikuasakan oleh gabungan enjin petrol 2.5 liter 4-silinder A25A-FXS dan motor elektrik. Enjin petrolnya mampu menghasilkan kuasa sehingga 187 PS dan tork 233 Nm. Manakala motor elektriknya menyumbang sehingga 182 PS dan tork 270 Nm.

Secara gabungan, sistem ini menjana jumlah output sehingga 250 PS. Peningkatan sebanyak 37% berbanding model standard. Model ini juga mencatatkan kadar kecekapan bahan api 5.7 liter per 100 km, yang turut menandakan peningkatan 37% berbanding varian petrol tulen.

Model baharu ini juga menawarkan anggaran jarak perjalanan sehingga 1,000 km. Sebagai kenderaan HEV, bateri sistem hibridnya dicas semula semasa pemanduan dan brek. Dalam pada masa yang sama, ia juga membolehkan kenderaan beroperasi dalam mod EV sepenuhnya.

Antara spesifikasi dan ciri utama yang ditawarkan termasuk:

  • Paparan Pemandu: Paparan digital 12.3 inci dan paparan heads-up (HUD) dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
  • Hiburan: Sistem audio JBL 15-pembesar suara dan skrin hiburan belakang 14 inci yang dipasang di siling .
  • Keselesaan: Upholsteri kulit Nappa dan sistem ioniser Panasonic NanoeX.
  • Keselamatan: Sistem pra-perlanggaran, kawalan pelayaran radar dinamik (DRCC), bantuan pengesanan lorong (LTA) dengan amaran keluar lorong, serta bantuan tanda jalan (RSA).
  • Tambahan: Perakam video digital (DVR) depan dan belakang sebagai ciri standard.

Menurut UMW Toyota Motor, pemilik Vellfire 2.5 HEV Executive Lounge akan menikmati jaminan tanpa had perbatuan selama 5 tahun serta jaminan ketersediaan alat ganti selama 10 tahun.

Tinggalkan komentar