Fasa pertama Lebuhraya Lembah Klang Timur (East Klang Valley Expressway, EKVE) secara rasminya telah dibuka menghubungkan Sungai Long dan Ampang. Lebuhraya ini dianggap penting bagi melancarkan aliran trafik di sekitar Lembah Klang, terutamanya bagi pengguna yang kerap berulang-alik antara Ampang, Kajang dan Cheras.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan majlis pelancaran semalam turut mengumumkan pengguna kenderaan boleh menggunakan lebuhraya ini percuma selama sebulan bermula dari 6 pagi 30 Ogos sehingga 11.59 malam 30 September 2025.
Lebuhraya sepanjang 24km untuk fasa pertama ini mempunyai dua lorong bagi setiap hala dengan empat persimpangan keluar di Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras, Hulu Langat, dan Ampang, empat plaza tol dan dua hentian sebelah.
Laluan ini juga merupakan sebahagian daripada sistem Lingkaran Luar Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Outer Ring Road, KLORR) yang direka bagi membantu mengalihkan trafik dari pusat bandar dan mengurangkan kesesakan di Lembah Klang.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang turut hadir menyatakan fasa pertama EKVE yang baharu dibuka dijangka dapat mengurangkan waktu perjalanan dari Ampang ke Kajang dalam masa 20 minit. Beliau memaklumkan fasa kedua yang akan menghubungkan laluan terus ke Ukay Perdana kini sedang dalam pembinaan. Sebaik siap ia akan melengkapkan keseluruhan 39km jajaran EKVE seperti di dalam rancangan pembangunan asal.













