Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikatnya, Allo Technology Sdn Bhd (Allo) sedang memperluaskan liputan internet jalur lebar fibernya ke Perak. Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi berkenaan mensasarkan 300,000 premis di seluruh Semenanjung menjelang akhir tahun ini.

Di Perak sahaja, Allo menyediakan perkhidmatannya di 56,132 buah kediaman di 6 lokasi pada ketika ini. Ini menjadikan jumlah keseluruhan premis yang menerima perkhidmatan fiber Allo lebih dari 180,000 merentasi Melaka, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Menurut TNB, perluasan rangkaian ini selaras dengan aspirasi JENDELA bagi merapatkan jurang digital melalui penyediaan akses fiber gigabit ke 7.5 juta premis menjelang akhir 2022. Menerusi laporan sukuan keempat 2021, terdapat 6.427 juta premis yang mempunyai akses fiber, bersamaan 85.69% daripada sasaran.

Di Perak, rangkaian fiber Allo meliputi Sungai Rapat (16,483 premis), Kinta (17,144 premis), Menglembu (12,497 premis), Silibin (2,790 premis) dan Tasek (2,620 premis). Langkah pertama TNB dalam penyediaan perkhidmatan jalur lebar fiber ini bermula di Jasin, Melaka sebagai sebahagian dari projek rintis Pelan Ketersambungan Kebangsaan (NCP) pada 2019.

Pengerusi TNB, Dato Sri Hasan Arifin menyebut infrastruktur jalur lebar membolehkan lebih ramai rakyat negeri Perak menikmati internet jalur lebar berkelajuan tinggi pada harga mampu milik. Akses ini juga mampu memperkasakan rakyat dalam membangunkan ekonomi, pendidikan, komuniti digital terutamanya di dalam mendepani wabak pandemik ini.

Rangkaian fiber ke rumah (Fibre to the Home, FTTH) TNB ini dilaksanakan melalui rangkaian akses terbuka (open access network) yang memaksimakan potensi kelajuan jalur lebar berkelajuan tinggi menerusi kerjasama dengan penyedia perkhidmatan runcit (retail service providers, RSP) seperti Maxis, Astro, Digi, Celcom, U Mobile, Freshtel dan Redtone.

Tulang belakang (backbone) kepada perkhidmatan ini adalah rangkaian optik fiber sepanjang 18,000 km milik TNB sendiri. Infrastruktur meluas yang dimiliki TNB seperti tiang elektrik telah boleh dimanfaatkan bagi menyediakan internet kepada pengguna-pengguna kediaman di seluruh Semenanjung.

Tinggalkan komentar