Telekom Malaysia (TM) telah merangka perancangan bagi meningkatkan kelajuan perkhidmatan jalur lebarnya selaras dengan hasrat kerajaan melalui pengumuman di dalam Bajet 2017. Walaupun masih belum memperincikan lagi apakah yang bakal ditawarkan kepada pengguna, TM menjanjikan sesuatu yang menarik buat pengguna internet pada tahun 2017 kelak.

Buat masa terdekat ini, TM merancang untuk menggandakan kelajuan internet buat pelanggan-pelanggan Unifi mereka yang sedia ada. Kerja-kerja menaik taraf ini akan bermula sekitar Januari 2017. Ia bakal melibatkan keseluruhan pengguna-pengguna yang layak dan akan dilakukan secara berperingkat.

Menariknya, sesetengah pelanggan akan melihat perubahan pada langganan mereka yang mana akan ditetapkan mengikut pakej baru mana yang paling hampir. Timbalan Pengerusi Eksekutif Pelanggan dan SME, Encik Imri Mokhtar menjelaskan melalui contoh seperti pelanggan VIP10 sekarang ini akan ditetapkan pada pakej langganan Advance Plan 30.

Bagaimanapun, tidak banyak yang diperkatakan mengenai pakej untuk pelanggan selain dari Unifi. Tidak dapat dipastikan bagaimana dengan pelanggan Streamyx melalui pakej 1Mbps dan 4Mbps menikmati penambahbaikan.

Sama ada TM benar-benar menyahut pengumuman Bajet 2017 lalu atau tidak, perkhidmatan internet di Malaysia sememangnya perlu dipertingkatkan dan berbaloi dari segi harga dan pakej yang ditawarkannya. Pengguna internet di Malaysia sememangnya amat faham dengan situasi semasa yang tidak memihak kepada pengguna kebanyakan yang inginkan pakej yang berbaloi dengan nilainya.

Dunia teknologi semakin berubah, yang tak reti-reti nak berubah selama ini adalah TM dengan pakej langganan jalur lebarnya yang boleh dikirakan sebagai mahal bagi pengguna kebanyakan. Kita orang Malaysia ni, internet slow pun takpe asalkan pakejnya adalah yang paling murah.

-Sumber berita diperoleh dari The Star

Tinggalkan komentar