Lanjutan dari inkuiri awam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan penetapan jalur spektrum untuk perkhidmatan jalur lebar mudah alih, TM telah membawakan usulnya sendiri mengenai penyediaan infrastruktur 5G di dalam negara.
Antara yang diberikan tumpuan adalah cadangan supaya spektrum-spektrum berkenaan tidak dipecah-pecahkan kepada beberapa pengendali. Sebaliknya, TM mencadangkan keseluruhan spektrum berkenaan diperuntukkan kepadanya dan seterusnya menjadi penyedia infrastruktur telekomunikasi negara (NTIP) tunggal untuk rangkaian 5G.
Menurut TM, pihaknya yakin melalui kaedah ini pemain-pemain industri dapat menjimatkan kos kerana dapat mengurangkan masalah pertindihan infrastruktur dan sistem rangkaian.
Hal ini dijangka dapat direalisasikan kerana TM berpendapat segala penambahan dan penyelenggaraan infrastruktur akan diuruskan oleh TM. Manakala pihak penyedia perkhidmatan pula boleh menumpukan perhatian kepada pelanggan masing-masing. Seterusnya para pengguna dapat memanfaatkan dari segi yuran langganan yang lebih rendah, kualiti yang lebih baik serta liputan rangkaian yang lebih meluas.
Pihak TM juga turut menjanjikan akan memberikan peluang yang adil dan saksama kepada semua penyedia perkhidmatan yang menggunakan infrastrukturnya nanti jika pihak kerajaan bersetuju dengan usul yang diangkat ini.
Maklumat lanjut mengenai cadangan ini boleh diperoleh melalui laman web rasmi SKMM dan juga dalam bentuk fail berformat PDF.













