Telekom Malaysia (TM) telah tampil memberikan penjelasan berhubung isu kelewatan dan gangguan pada sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services (NG MERS 999) yang dilaporkan baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan rasmi, TM memaklumkan bahawa gangguan tersebut berpunca daripada lonjakan mendadak jumlah panggilan yang diterima sebaik sahaja migrasi sistem dilakukan pada 16 November lalu.
Peningkatan trafik yang luar biasa ini telah memberi tekanan kepada kapasiti pelayan, mengakibatkan kesukaran orang ramai menghubungi talian kecemasan.
Authorities said field response is being strengthened through additional ambulances, strategic personnel deployment, and collaboration with volunteer agencies to ensure efficient nationwide emergency services.
They added that the platform continues to use the “nearest available”… pic.twitter.com/Vm2wCBxyGA
— BFM News (@NewsBFM) November 19, 2025
Menurut data yang dikongsikan oleh TM, sistem MERS 999 yang lama sebelum ini mengendalikan purata sekitar 50,000 panggilan setiap hari. Walau bagaimanapun, selepas peralihan kepada sistem baharu NG MERS 999, jumlah tersebut meningkat secara drastik kepada hampir 70,000 panggilan sehari. Peningkatan trafik ini telah menjejaskan prestasi sistem dan menyebabkan sesetengah pemanggil mengalami kegagalan atau kelewatan sambungan.
Hanya 5% adalah panggilan kecemasan sebenar
Apa yang lebih membimbangkan, TM mendedahkan bahawa daripada jumlah ribuan panggilan tersebut, hanya 5% merupakan panggilan kecemasan yang tulen. Ini bermakna, baki panggilan yang dianggarkan mencecah lebih 66,000 panggilan sehari adalah panggilan senyap (silent calls) atau panggilan palsu (prank calls).
Walaupun berlaku lonjakan trafik panggilan masuk, TM menegaskan bahawa jumlah insiden kecemasan sebenar yang disalurkan kepada agensi penyelamat kekal tidak berubah, iaitu sekitar 3,500 kes sehari.
“Pihak kami menyedari kebimbangan orang ramai dan sedang menangani setiap laporan dengan keutamaan tertinggi. Langkah serta-merta telah diambil termasuk meningkatkan kapasiti pelayan dan mengoptimumkan konfigurasi sistem bagi menampung beban trafik yang tinggi,” jelas kenyataan tersebut. TM turut menambah sumber tenaga kerja di pusat panggilan bagi menguruskan lonjakan ini dengan lebih efisien.
Isu ini turut mendapat perhatian serius susulan laporan media mengenai kelewatan ambulans dan kegagalan sistem yang menimbulkan panik dalam kalangan pengguna. Beberapa insiden dilaporkan di mana ambulans lewat tiba atau sistem gagal mengesan lokasi kejadian dengan tepat, yang dikhuatiri boleh membahayakan nyawa mangsa.
Sebagai langkah alternatif, TM menyarankan penggunaan aplikasi SaveME 999 sebagai saluran pelengkap kepada talian suara 999. Aplikasi ini membolehkan pengguna, termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU), menyalurkan maklumat kecemasan melalui teks, video, dan data geolokasi (GPS) yang lebih tepat. Namun, orang ramai diingatkan bahawa talian suara 999 masih lagi kekal sebagai saluran utama untuk bantuan kecemasan.













