TM telah mengumumkan akan menggantikan peralatan premis pelanggan (Customer Premises Equipment, CPE) yang telah mengalami kerosakan akibat banjir tanpa sebarang bayaran. Berdasarkan laman soalan lazimnya bertarikh Jun 2021, peralatan yang disediakan buat pelanggan Unifi Home Fibre berkenaan bernilai lebih kurang RM1,000.
Sungguhpun peralatan berkenaan mungkin berbeza antara setiap pelanggannya, pada kebiasaannya pelanggan Unifi Home menerima sebuah Broadband Termination Unit (BTU) yang biasanya dipanggil sebagai ‘modem’ oleh pengguna, dan sebuah router Wi-Fi. Sesetengah pelanggan terutamanya yang melanggan pelan lama Unifi mungkin turut menerima telefon DECT dan set kotak TV Unifi.
Berdasarkan pengumuman tersebut, TM tidak menyatakan secara spesifik peranti CPE apa yang layak untuk program penggantian percuma ini. Namun, jika penggantian percuma yang melibatkan sekurang-kurangnya modem dan router Unifi yang terkesan pun sudah memadai. Hal ini kerana, kedua-dua unit ini wajib ada bagi mendapatkan akses internet di rumah pengguna.
Dalam pada masa yang sama, TM memaklumkan para pelanggan boleh menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan di talian 100 atau menggunakan fungsi Live Chat pada laman web rasmi Unifi untuk mengatur janji temu penggantian peralatan berkenaan. Pelanggan juga perlu mengambil maklum mengenai kemungkinan masa menunggu untuk mendapatkan perkhidmatan penggantian percuma tersebut agak panjang mengambil kira jumlah pengguna yang terkesan dari bencana banjir tersebut.













