Lanjutan dari ketiadaan penawaran Unifi Lite (Streamyx) dari laman rasmi TM, salah seorang pentadbir laman forum Unifi Community mendedahkan TM kini tidak lagi menerima pendaftaran pengguna baharu Unifi Lite.
Pihak TM juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung langkah terkini ini yang turut melibatkan pelan Bussiness Broadband. Kenyataan ini turut menyertakan perincian seperti rancagan TM untuk memindahkan kesemua pelanggan sedia ada Unfi Lite (Streamyx) dan Bussiness Broadband ke fiber Unifi menjelang 2025.
Sebagai sebahagian dari langkah migrasi tersebut, TM akan menghubungi pelanggan-pelanggan yang terlibat menerusi kesemua saluran telekomunikasi termasuk emel, SMS, panggilan telefon dan juga surat rasmi.
Menurut TM, pelanggan-pelanggan ini masih lagi boleh menggunakan perkhidmatan DSL sedia ada sehingga proses migrasi yang dijalankan secara berperingkat ini selesai.
TM sedang giat memindahkan pelanggan-pelanggannya yang masih lagi menggunakan teknologi dawai kuprum ke gentian optik sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Berdasarkan laporan suku tahunan keempat 2021, TM masih lagi mempunyai sejumlah 278,000 pelanggan Unifi Lite (Streamyx) pada hujung 2021.
Angka ini merupakan sebahagian dari 652,601 premis yang disasarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk dinaik taraf ke gentian optik pada tahun 2022 menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).













