TikTok Shop akan menemui pengguna-pengguna di Malaysia tidak berapa lama lagi. Buat masa ini, TikTok sedang mengumpulkan pendaftaran peniaga-peniaga di dalam Malaysia atas tujuan memperkenalkan ciri berkenaan.
Peniaga kelak boleh menempatkan produk masing-masing melalui TikTok Shop untuk dijual oleh pembeli tanpa perlu keluar dari aplikasi tersebut.
Fungsi-fungsi sedia ada lain di dalam platfrom video sosial ini turut diintegrasikan bersama-sama TikTok Shop. Peniaga boleh memanfaatkan fungsi TikTok Live bagi mempromosikan produk yang dijual.
Selain itu, peniaga yang mempunyai TikTok Shop akan mempunyai ikon khas pada laman profil masing-masing untuk membolehkan pengguna lain melihat produk-produk yang dijual.
Penghantaran percuma TikTok Shop
Pelbagai promosi dan diskaun turut diperkenalkan bagi menggalakkan penggunaan ciri terbaru di dalam TikTok ini seperti penghantaran percuma. Promosi-promosi seperti ini adalah lumrah pada mana-mana platform jualan dalam talian seperti mana Shopee ketika peringkat awal pengenalannya dahulu.
TikTok menawarkan dua kaedah penghantaran bagi produk-produk yang dijual melalui platformnya iaitu:
- Ship by TikTok (dengan pilihan rakan logistik TikTok)
- Ship by Seller (ditentukan oleh peniaga)
Untuk pembayaran pula, pengguna di dalam TikTok Shop Malaysia boleh memilih secara pembayaran sewaktu penerimaan (COD) dengan had sehingga RM10,000.
Anda yang berminat untuk mendaftar menggunakan ciri ini, anda boleh melakukannya dengan mengunjungi pautan ke TikTok Shop.
Berdasarkan rekod penggunaan ciri ini dibeberapa negara yang telah memperkenalkannya, di laporkan hasil jualan menerusi TikTok Shop lebih lumayan berbanding platform-platform lain. Salah satu sebabnya adalah faktor tarikan pelbagai kandungan ringkas yang menarik ditawarkan oleh kumpulan penggunanya selain faktor umur majoriti penggunanya.
Pasaran e-dagang di rantau Asia Tenggara dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini diterajui oleh Shopee dan Lazada.
Antara kedua-duanya, Lazada lebih menumpukan pada kelebihan penjenamaannya, manakala Shopee mempunyai kelebihan dari permulaannya sebelum ini yang mengutamakan peniaga di bandar-bandar kecil dan kawasan luar bandar. Untuk Bytedance pula, pemilik platform TikTok ini mempunyai kelebihan dari segi jumlah pengguna aktif sekitar 240 juta di Asia Tenggara.













