Bulan lepas, TikTok telah membuka pendaftaran untuk para peniaga menjadi sebahagian dari platform e-dagangnya yang dikenali sebagai TikTok Shop. Kini, perkhidmatan tersebut secara rasminya hadir menemui seluruh pengguna TikTok.

Menerusi kenyataan akhbarnya, TikTok memaklumkan Malaysia merekodkan pendapatan dari e-dagang sejumlah RM279 billion pada suku tahunan ketiga 2021. Angka ini merupakan peningkatan sebanyak 17.1% dari tempoh yang sama pada tahun lepas.

Menurut TikTok lagi, TikTok Shop akan memberikan manfaat buat perusahaan kecil dan sederhana yang masih lagi belum memiliki kedai secara fizikal. Menerusi platform ini, peniaga dapat menggunakan sepenuhnya kelebihan e-dagang di dalam TikTok.

Bagi pengguna biasa, menerusi TikTok Shop ini anda dapat membeli belah sambil menikmati kandungan-kandungan video menarik yang disediakan di dalam aplikasi TikTok.

Buat masa ini, platform kandungan video ini juga sedang mengadakan Jualan Hari Raya sehingga 30 April ini. Promosi ini melibatkan baucar penghantaran percuma dan diskaun sehingga 99% termasuk di dalam bentuk kupon.

Tinggalkan komentar