Platform video pendek dari China, TikTok telah mengatasi Facebook sebagai aplikasi media sosial yang paling banyak di muat turun di dunia. Menurut laporan dari Nikkei Asia, satu kaji selidik global pada tahun 2021 menunjukkan TikTok berada di carta teratas buat pertama kalinya sejak kaji selidik tersebut dijalankan dari 2018.
Laporan berkenaan menyebut syarikat induk TikTok, ByteDance mula melancarkan versi antarabangsa platform berkenaan pada 2017. Kini, platform video pendek ini telah mengatasi Facebook, WhatsApp, Instagram dan Facebook Messenger (kesemuanya dimiliki oleh Facebook) termasuk di Amerika Syarikat.
Populariti aplikasi TikTok ini mula meningkat ketika wabak pandemik tercetus dan mula menjadi aplikasi paling banyak di muat turun di Eropah, Amerika Selatan, dan Amerika Syarikat.
Selain itu, platform sembang dan komunikasi, Discord turut mencatatkan pertambahan bilangan pengguna. Platform yang didanai oleh Sony ini lebih popular dikalangan para pemain-pemain permainan berkomputer dan digunakan ketika bersembang apabila di dalam talian.
Pada awal tahun 2021, WhatsApp telah mengumumkan akan berkongsikan data permesejan penggunanya dengan Facebook. Sungguhpun WhatsApp menjanjikan perlindungan maklumat penggunanya dalam berkomunikasi, tindakan ini telah menyebabkan sebahagian penggunanya mula beralih arah.
Lanjutan dari trend ini, aplikasi permesejan yang dibangunkan di Russia tetapi kini berpangkalan di Jerman, Telegram turut mencatatkan pertambahan pengguna dan kini berada di tangga ketujuh.













