Insiden-insiden godaman dan ketirisan data yang berlaku di era digital ini telah menimbulkan kegusaran di kalangan pengguna mengenai data peribadi.
Salah satu usaha yang boleh dilakukan bagi melindungi data peribadi pengguna ini adalah dengan menyorokkan nombor telefon pelanggan pada kotak pembungkusan kurier.
Bermula dari 21 Oktober, platform e-dagang Shopee telah mengumumkan nombor telefon pelanggannya tidak akan ditunjukkan pada resit pembungkusan. Ia akan dilaksanakan bagi penghantaran melalui J&T Express dan Ninja Van sahaja buat masa ini.
Berdasarkan kemaskini pada laman resit kurier penghantaran Shopee, nombor telefon pembeli telah mula tidak dimasukkan sejak 13 September lalu.
Bagaimanapun, nombor telefon pelanggan masih lagi dicetak pada resit penghantaran melibatkan Poslaju dan City-Link Express.
Untuk staf penghantar barangan, nombor telefon pelanggan masih lagi boleh diakses menerusi sistem dan boleh digunakan untuk menghubungi pelanggan.
Perubahan ini sungguhpun dilihat kecil, namun ia mampu menghindarkan pengguna dari penyalahgunaan maklumat peribadi oleh scammer.
Pada 14 Disember 2020, terdapat laporan mengenai scammer yang mendapatkan nombor telefon pelanggan menerusi bungkusan penghantaran yang telah dibuang.













