Tesco baru-baru ini telah melancarkan program Order & Collect, perkhidmatan pembeli-belah peribadi berasaskan WhatsApp dan kini boleh didapati di kebanyakan pasarayanya di seluruh negara. Perkhidmatan terbaru ini membolehkan pengguna membuat pesanan barangan-barang penting melalui WhatsApp dan mengambilnya pada hari yang sama.
Untuk menggunakan perkhidmatan terbaru ini, pengguna boleh menyenaraikan pesanan ke nombor WhatsApp pembeli-belah peribadi Tesco berdekatan di antara jam 8 pagi hingga 4 petang setiap hari.
Sebaik sahaja pesanan diterima, pembeli-belah peribadi akan memaklumkan waktu jangkaan untuk pengambilan barangan pesanan. Waktu pengambilan barangan yang dipesan terakhir adalah jam 6 petang. Selepas pengesahan dilakukan, satu kod bar akan dihantarkan kepada pengguna untuk digunakan sebagai rujukan ketika pembayaran. Tesco turut menyatakan kesemua pembayaran perlu dilakukan di dalam pasaraya sama ada melalui tunai atau eDompet.
Jika barangan yang dipesan tidak terdapat di pasaraya Tesco yang dirujuk pengguna, pembeli-belah peribadi akan menghubungi pengguna untuk mencadangkan alternatif atau membatalkan. Menurut Tesco, perkhidmatan ini dihadkan hanya pada 100 slot setiap hari berdasarkan siapa-cepat-dia-dapat (first come first serve). Selain itu, hanya 25 barangan sahaja dihadkan bagi seorang pengguna.
Program Order & Collect ini tidak ditawarkan di Tesco berikut iaitu di Puchong, Cheras, Selayang, Desa Tebrau, Mutiara Damansara, Kulai dan KSL. Ketiadaan perkhidmatan ini ditawarkan pada cawangan-cawangan Tesco berkenaan adalah disebabkan kekangan sumber dan pihak Tesco sedang berusaha mengatasinya.
Untuk maklumat lanjut, layari laman khas Tesco Order & Collect













