Microsoft kini dilaporkan sedang memperkemaskan misinya untuk menyediakan sebuah sistem operasi lengkap tunggal yang boleh digunakan pada semua peranti tanpa mengira saiz dan kelasnya. Untuk merealisasikan misi ini, Microsoft merancang untuk menerbitkan “shell” terbaru yang boleh berfungsi pada semua peranti – dari telefon pintar hinggalah ke PC.
Shell ini dikatakan bakal hadir dalam bentuk Windows 10 penuh pada tahun ini bersama-sama Windows 10 Cloud. Sebelum ini, banyak pihak merasakan Windows 10 Cloud adalah Windows 10 versi awanan yang boleh dioperasikan pada mana-mana peranti disebabkan kebolehan penstrimannya.
Bagaimanapun, laporan terbaru ini memaklumkan bahawa Windows 10 Cloud bukanlah sebuah sistem operasi strim. Sebaliknya, ia akan mensasarkan pada Google Chrome OS yang dipasangkan pada Chromebook. Sistem operasi dari Google berkenaan banyak bergantung dengan aplikasi berasaskan web yang boleh digunakan sama ada atas talian atau luar talian melalui akses Chrome Web Store. Chrome OS ini amat popular di dalam sektor pendidikan dan perniagaan di sebilangan negara berikutan harganya yang murah serta prestasinya yang lancar.
Melalui Windows 10 Cloud, sistem operasi ini hanya serasi dengan aplikasi Universal Windows Platform yang boleh didapati melalui Windows Store. Mungkin Microsoft menggunakan terma “cloud (awanan)” pada versi ini berikutan saiznya yang ‘ringan’ serta kebergantungannya pada aplikasi-aplikasi awanan. Terma berkenaan dijangka turut digunakan oleh OEM untuk membezakan antara versi ‘lesen percuma’ dengan Windows 10 penuh.
Senarai untuk Windows 10 Cloud mula menunjukkan ‘builds’ Windows 10 bermula dengan kit pembangunan perisian (software development kit) versi 15003. Terdapat dua versi iaitu, Windows 10 Cloud with Media Player pre-installed, dan Windows 10 CloudN without Media Player. Platform ini dijangkakan bakal hadir pada tahun ini dan akan diumumkan secara rasminya pada persidangan BUILD sekitar Mei ini.
Langkah ini merupakan antara usaha Microsoft untuk menyaingi Google dilapangan laptop bajet yang seangkatan dengan Chromebook.
Sumber berita diperoleh dari ZDNet













