Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) telah mengeluarkan arahan baharu yang melarang anggotanya daripada menggunakan cermin mata pintar semasa berpakaian seragam.
Selain itu, penggunaan fon telinga (earbuds) dan peranti Bluetooth lain kini diketatkan penggunaannya hanya untuk pegawai yang menjalankan tugas rasmi sahaja.
Langkah ini diambil bagi mengekalkan profesionalisme ketenteraan serta memperkukuh keselamatan operasi.
Berdasarkan polisi pakaian dan penampilan peribadi terkini, pemakaian cermin mata pintar yang dilengkapkan dengan fungsi foto, video, atau kecerdasan buatan (AI) adalah tidak dibenarkan sama sekali semasa berpakaian seragam.
Ini termasuk peranti popular seperti Ray-Ban Meta yang mampu merakam audio dan visual secara automatik. Ia dikhuatiri boleh mendedahkan maklumat sensitif atau sulit kepada pihak luar melalui muat naik awan (cloud upload).
Polisi baharu ini turut memperketatkan penggunaan peranti audio. Penggunaan fon telinga, fon kepala (headphones), atau sebarang teknologi Bluetooth kini hanya terhad kepada anggota yang mempunyai kebenaran khusus untuk tugasan rasmi.
Larangan ini juga merangkumi penggunaan media elektronik seperti menghantar mesej teks atau bercakap di telefon semasa berjalan, kecuali dalam situasi kecemasan atau untuk notifikasi rasmi yang penting.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian yang diberikan:
- Anggota berpakaian seragam dibenarkan menggunakan peranti ini semasa dalam perjalanan menggunakan pengangkutan awam.
- Penggunaan dibenarkan semasa memakai pakaian sukan (PT attire) ketika menjalani latihan kecergasan individu di gimnasium atau pusat kecergasan.
Langkah ini dilihat sebagai usaha mengurangkan risiko keselamatan siber. Isu penjejakan lokasi sebelum ini pernah timbul pada tahun 2018 apabila aplikasi kecergasan seperti Strava secara tidak sengaja mendedahkan susun atur pangkalan tentera AS yang sulit.
Buat masa ini USAF mempunyai kira-kira 300,000 anggota aktif. Risiko kebocoran maklumat melalui peranti pintar peribadi dianggap sebagai ancaman yang perlu dibendung secara menyeluruh.













