Ramai yang sebelum ini menjangkakan telefon pintar boleh lipat tiga keluaran Samsung akan membuat kejutan berasa hampa apabila peranti tersebut tidak diperkenalkan di dalam acara Galaxy Unpacked pada minggu lepas.

Bagaimanapun, perasaan hampa tersebut mungkin terubat apabila Samsung telah mengesahkan peranti tersebut kini sedia untuk pengeluaran. Laporan juga menyebut ia disasarkan akan diperkenalkan pada Oktober ini.

Prototaip telefon lipat tiga Samsung Flex S

Maklumat berkenaan hadir menerusi hantaran oleh pentiris maklumat tegar Ice Universe di platform media sosial Weibo. Hantaran yang sama juga mendakwa Huawei akan melancarkan peranti berkesinambungan dari Mate XT pada bulan September. Ini bermakna telefon pintar boleh lipat tiga Samsung akan terus berdepan dengan pesaingnya sebaik ia dilancarkan.

Tidak dapat dipastikan sama ada Samsung akan mengadakan acara khas bagi mengumumkan kehadiran peranti tersebut. Agak janggal jika syarikat gergasi dari Korea Selatan ini tidak melancarkan telefon pintar boleh lipat tiga keluarannya yang pertama ini.

Tambahan pula, Samsung Galaxy S25 FE juga berkemungkinan akan dilancarkan dalam tempoh yang sama.

Lain-lain info mengenainya dijangka juga ia akan menggunakan penjenamaan Z untuk model tersebut. Sebelum ini ia diramal menggunakan nama “Galaxy G Fold, namun Samsung dilihat telah mendaftarkan tanda nama untuk “Galaxy Z Trifold” di Korea Selatan.

Telefon pintar ini turut dilaporkan akan dilengkapkan dengan pemprosesan Snapdragon 8 Elite, menurut laporan yang berasingan dari Android Authority. Ia berdasarkan untaian kod pada beta dalaman One UI 8 yang merujuk pada Galaxy Z Trifold bersama-sama pemprosesan mercu Qualcomm.

Apa pun, kesahihan maklumat ini hanya dapat dipastikan sebaik sahaja pelancaran rasminya diumumkan. Selain itu, telefon pintar boleh lipat tiga Samsung ini juga tidak akan diperkenalkan di pasaran Malaysia dalam masa terdekat ini memandangkan ia hanya terhad untuk pasaran Korea Selatan dan China sahaja terlebih dahulu.

Tinggalkan komentar